Wednesday, December 29, 2010

Kasihnya Ayah...


Semalam, 28 Disember 2010, ulangtahun kelahiran ayah saya yang ke 64 tahun. Alhamdulillah... ayah saya masih sihat walaupun kadang2 dia kena gout sebab tak nak jaga makan... suka sangat makan daging la.. pastu kadang2 curi2 makanan yang berunsur seafood.. Tapi nak buat cam mana kan.. kalau tekak dah teringin nak merasa..


Bercerita tentang ayah, saya agak rapat dengan ayah sejak kecik lagi. Ayah saya seorang yang penyayang tapi sangat strict. Saya boleh bermanja2 dan mengada2 dengan ayah, tapi saya tak boleh untuk merayu atau melawan apa saja keputusan yang telah dibuat oleh ayah. Berbeza dengan mak. Emak garang sikit, pernah kena pukul masa kecik2..kalau mengada2.. memang kena bebel la kan.. tapi dengan mak, boleh la nak pujuk mak untuk buat apa2.. sebab mak jenis yang tak sampai hati... Emak dan ayah saya kontra... Ayah jenis keras hati.... mak jenis lembut hati. Sebab tu diorg ditakdirkan hidup bersama kan... saling lengkap melengkapi. Jenuh la saya dengan adik kalau dapat mak dan ayah yang sama2 keras hati...heheheh.


Berbalik pada Ayah, dulu2 ayah sanggup buat apa saja utk saya dan adik. Ayah hantar saya gi sekolah, sampai la hari terakhir saya ambik SPM.. Hujan, panas.. ribut..selagi saya mahu ke mana2, ayah sanggup redah. Pernah sekali masa saya darjah 1, motor ayah rosak.. saya pulak dah janji dengan kawan2 nak ke rumah cikgu kat Pekan Kapar.. Ayah tak nak saya mungkir janji, ayah sanggup hantar saya naik basikal tengah2 hari tu... Lepas tu ayah duduk berteduh bawah pokok sementara tunggu saya balik. Masa tu saya nampak ayah duduk bersandar pada pokok... kesian sangat ayah saya masa tu... Satu lagi incident yang menumpahkan air mata saya ialah masa saya tingkatan 5, saya balik dari tusyen di bandar Klang naik bas. Masa tu hari hujan renyai2.. saya terpaksa berdiri dibahagian belakang sekali sebab ramai orang. On the way tu, saya terpandang kat luar bas... saya nampak ayah dan mak saya belakang bas, tengah naik motor, meredah hujan...diaorg baru balik dari kerja la tuh. Atas bas tu jugak saya menangis... saya rasa sedih sangat tengok ayah dan mak saya... Masa tu keluarga kami tak ada kereta.... Saat tu juga lah saya bertekad untuk ubah kehidapan keluarga saya.. Saya mula berazam untuk cemerlang dalam SPM. Alhamdulillah... usaha saya berhasil. Saya berjaya membanggakan Ayah... dan harta pertama yang saya beli selepas 4 bulan saya mula bekerja ialah Kereta. Saya memang dah tekad nak beli kereta untuk kesenangan emak dan ayah saya pergi kerja. Walaupun saya terpaksa naik LRT pergi kerja... yang penting mak dan ayah saya dapat naik kereta. Tahun 2002, ayah beli kereta sendiri... dan tahun 2005, saya berjaya melangsaikan hutang kereta ayah... memang itu azam saya, saya nak bayar habis kereta ayah....


Semoga ayah saya selalu berada dalam keredhaan Allah, diberikan kesihatan yang baik dan dikurniakan dengan limpahan kasih sayang yang berterusan dari kami sekeluarga. Selamat Hari Lahir Ayah!

Monday, December 27, 2010

Siti Di Alam Fantasi

Salam petang Isnin. Tinggal lagi seminggu je sekolah dah nak start balik. Saya pun nampaknya bakal sibuk nak menguruskan persekolahan anak la jugak. Walaupun Aszra hanya masuk tadika, tapi still saya ambik cuti.. ibu dia yang terlebih excited kot. So, sempena cuti sekolah ni... saya dan Asrof bawa Aszra gi menonton teater untuk pertama kalinya di Istana Budaya. Yer la.. kali ni citer kanak2 memang boleh la budak2 masuk.. selalunya kami pergi berdua je. Actually ini kali kedua saya dan Asrof menonton citer Siti Di Alam Fantasi (SDAF) di Istana Budaya. Kali pertama 10 tahun yang lalu, tahun 2000.. masa tu kami masih dalam status berdating la..heheh. Pelakon utamanya Amy Mastura masa tuh.. Kali ini, yang pegang watak Siti ialah Liyana Jasmay.




Secara ringkas tentang teater SDAF ni mengisahkan Siti, seorang budak yang sombong kerana kekayaan keluarganya. Tiba2 dia terjebak dalam satu pengembaraan bersama Mamat (khadamnya - lakonan Ebby Yus) mencari batu geliga yang hilang milik keluarganya.. Masa ni lah dia berjumpa dengan pokok berckp (lakonan Johan Raja Lawak), jumpa kumpulan Lipas, Katak, Ulat Bulu, Ikan Duyung, Labah-labah dan Sesumpah. Setiap scene dalam citer ni menyelitkan unsur-unsur nasihat contohnya, jangan buang sampah merata2, jangan ponteng sekolah, jangan sombong.. sampai lah akhirnya Siti berubah menjadi budak yang baik dan penyayang.....
Si Aszra pulak, sepanjang teater tu la dia asyik bertanya jer... ada je dia nak tanya pasal citer tuh.. Sabor je la. Tapi dia siap ckp "thank you ibu sebab bawak Aja tengok citer ni....". Dia suka lah tu...heheheh. Oh..teater ni masih ditayangkan di Istana Budaya hingga 31 Disember ni..

Friday, December 24, 2010

Jalan-Jalan Penang Pulau Mutiara

Ha.. ni entry dah basi, tapi tulis jugak. Yer la, saya tulis blog supaya saya, anak2 cucu saya nanti boleh mengimbas kenangan2 lama...

Sempena anniversary yang ke 6 hari tu, kami sekeluarga ke Utara tanah air. Hajat ni dah lama di pendam oleh si ayah.. sejak saya mengandung lagi. Dia mengidam benor nak gi muzium toys terbesar kat Penang tuh. Makanya, tiba la masa yang ditunggu2. Kami bertolak ke Alor Setar hari Sabtu 4 Dis tu. Sampai kat sana kul 6 petang.. tido satu malam kat rumah Mak dik, adik bongsu ibu yang memang lama menetap kat sana. Dapat lah merasa laksa johor yang sangat sedap itu. Ibu dan adik beradiknya memang pandai masak laksa johor la. Esoknya hari ahad, kami gerak pulak ke Penang. Janji dengan Sato and family yang kebetulan juga bercuti ke Kedah.. kami get together kat Jeti. Saja nak merasa naik feri. Suka lah si Aszra dapat naik bot besar katanya... Sampai kat Georgetown, bermula la episod jeemmm.. Jalan banyak tutup sebab ada motor GP pulak. Kami mulakan ke destinasi pertama, bukit Bendera. Hajat hati nak bawak bebudak ni naik kereta api la kan... Jalan ke sana tak usah ckp la.. memang jem melampau. Sampai2 situ pulak, entah apa malang nasib.. TUTUP la pulak Bukit Bendera tuh... hangin betul la. Masa browse dlm website x tulis pun tutup! Sabor je la.. Pastu kami terus ke destinasi seterusnya Rumah Kelahiran P.Ramlee.




Alhamdulillah... rumah ni bukak untuk lawatan. Lepas tu cari Nasi Kandar pulak.. bila banyak jalan tutup, pakai GPS pun x guna... sib baik jumpa la satu kedai. Pastu kami terus gerak ke Tanjung Tokong, ke apartment yang kami sewa utk malam tu. Lega dapat relax. Malam pulak, gerak ke Batu Feringgi, saja layan Feringgi Night Market. Not bad barang2 kat situ.. tapi most of it barang2 perhiasan la.. Lepas tu gerak gi Gurney Drive, pekena char kuew tiow ngan rojak pasemboq. Esoknya, pagi2 dah keluar, gi pantai batu feringgi. Mandi manda kejap.. Pastu sebelum balik, baru lah kami ke Muzium Toys terbesar tuh. Tapi memang best la.. banyak betul collection owner tuh. Si ayah pun teruja la.. Kalau dia ada collection cam gitu nanti, saya pun nak ajak dia bukak muzium la.. heheheheh. Lepas tu, hajat kami nak ke georgetown nak beli jeruk2 salak, pala ke... tapi boleh pulak kami stuck dlm jem hampir 3 jam kat tengah bandar tuh. Last2 dah nak masuk marghrib, sama2 fed up.. Kami terus decide x payah beli apa2, the terus balik ikut jambatan pulau pinang. Seriously, jem di Penang sangat teruk sampai en Asrof kata, lagi 10 tahun baru dia nak datang Penang..heheheh.. Sebelum terus balik ke KL, kami singgah Sungai Petani kejap, singgah ke restoran nasi beryani Mak Dip dan uncle Izhar. Mak dip ni, adik ibu mertua saya yang ke 4 rasanya. Pun, dah lama menetap dan berniaga di Sg Petani. Kami gerak balik ke Setia Alam, kul 10 malam... sampai rumah dalam kul 4 pagi. Lega... penat betul jalan2 jauh ni. Tapi yang penting... dapat bercuti bersama keluarga itu lah yang paling penting kan...




Monday, December 20, 2010

Tido di Hospital

Salam... dah masuk minggu ke tiga bulan disember dah. Banyak entry tertunggak blog saya ni. Banyak aktiviti tapi tak ada masa pulak nak update. Semuanya gara2 anak bujang saya masuk hospital sejak 11 disember sampai lah 17 disember yang lalu. Ha... tujuh hari duduk wad. Masa bersalinkan dia dulu pun tak lama macam tu. Asyif kena demam panas start hari khamis, 9 disember. Demam balik berjalan jauh agaknya... kami ke Penang weekend anniversary hari tu...(nanti citer pasal trip penang lak).


Kami bawak Asyif ke klinik Araa di Setia Alam sampai 3 kali. Last2 doktor bagi surat suruh refer hospital sebab segala ubat dah bagi pun tak jalan jugak. Kami bawak dia ke Hospital KPJ Selangor, Shah Alam la.. tempat dia dilahirkan jugak la.. Sampai2 sana je temperature dia dah cecah 40 oC. Terus la masuk zone kuning, kena bukak baju dan terus dilap dengan air sejuk. Menjerit la si Asyif. Pastu terus admit masuk wad 219. Malam tu dan malam2 seterusnya kami empat beranak tidur kat wad la.. sib baik ambik single room. Ada sekali, hari kedua, tiba2 je tangan dan kaki asyif bertukar jadi pucat lesi dan sejuk semacam. Bibir pulak dah nak mcm biru je... Saya dah panik.. meleleh2 air mata saya tengok anak saya terkulai cam tu je.. Terus doktor datang dan bagi ubat masuk punggung... Saya peluk dia erat2. Tuhan je tahu perasaan saya masa tuh. Air mata saya mcm empangan pecah.. Si ayah pulak jenis yang tak cepat panik dan positif je.. Lepas 15 minit, baru la kaki tangan dia merah balik. Doktor cakap sometimes memang kalau demam boleh jadi cam gitu. Takut sungguh saya masa tu. Lepas tu Asyif masuk air guna drip... pastu tiap2 malam kena ambik gas nebulizer sebab ada kahak dalam paru2 dia.. Tu satu hal lagi. Bila nampak nurse masuk je... meraung la dia.

Actually, masa mula2 doktor suspect asyif kena denggi sebab platlet dan sel darah putih dia turun banyak. Tapi bila hari ketiga ambik darah, naik pulak platlet dia.. pastu hari ke empat turun balik platlet dia.... so doktor kata bukan denggi tapi viral fever la... cuma agak kuat sikit la virus nyer.. Alhamdulillah hari ke enam, platlet dan sel darah putih kembali normal... hari ke tujuh, kami pun keluar la dari wad. Punyer la letih rasa badan saya... yer la, tido pun mcm tak cukup kan..tapi ni lah pengorbanan jaga anak kan... mcm tu la mak dan ayah saya bila saya sakit dulu kan... Besar betul jasa dan pengorbanan ibu dan ayah ni.... Semoga Allah saja yang membalas atas segalanya...

Saturday, December 04, 2010

6 tahun yang lalu - 4 Disember 2004

Tarikh 4 Disember datang lagi. Tahun saban tahun.. kami meraikan ulangtahun penyatuan ikatan sah kami. Alhamdulillah masuk tahun ke 6. Mungkin ada yang kata, masih terlalu awal perkahwinan ini.. tapi 6 tahun itu, penuh dengan warna warni, suka duka, jatuh bangun yang telah kami kongsi bersama. Diserikan dengan dua pengarang jantung, Aszra dan Asyif menjadikan hidup kami lengkap.


En Asrof pernah bertanya.. apa istimewanya dia berbanding lelaki yang pernah muncul dalam hidup saya sebelum dia. Jawapan saya senang. "U always let me being whatever i want to be". Lebih kurang mcm tu la. Yup.. dia lah yang sentiasa menyokong saya untuk apa saja yang saya nak buat. Bila saya minat buat cupcakes.. dia akan jaga anak2 so that saya boleh masak dan design cake dengan tenang.. Bila saya nak main bowling/treasure hunt .. dia juga akan jaga anak, bawak anak ke hulu ke hilir... Bila saya nak jadi emcee.. dia pasti akan mendoakan saya.. mesti hantar sms sebelum majlis "Good Luck awak...". Bila saya nak exam, dia tak bagi saya masak.. .. Masa saya buat master dulu, dia lah tolong check kan tesis saya.. even dia sendiri belum ada master.. Sekarang ni, bila saya kemukakan cadangan untuk buat Phd.. dia lah yang paling menyokong.. Saya tahu dia ikhlas.. saya tahu dia tidak pernah menganggap apa yang saya suka/minat akan menyusahkan dia.. Dia selalu kata.."Suami isteri dalam perkahwinan bukanlah untuk compete sesama sendiri, but to complement each other.. lengkap melengkapi..". Betul kan.. setiap kita manusia tak lepas dari kelemahan.. jadi tugas suami dan isteri lah untuk memperbaiki kelemahan itu supaya institusi keluarga itu terus kukuh.... KITE SAYANG AWAK SANGAT SANGAT...

Tuesday, November 30, 2010

Being an 'orang kebanyakan'!

Salam petang selasa. Alhamdulillah tugas pertama saya petang ini dah selesai. Ada 3 lagi session. Sebenarnya, saya dipilih menjadi emcee untuk sebuah persidangan peringkat nasional. Best sangat ke.. tapi bagi orang 'kebanyakan' macam saya dan kawan2 saya di IM***C, pemilihan saya untuk sebaris dengan 'mereka' adalah satu pencapaian besar. Selalunya hanya 'mereka' yang difikirkan layak untuk berada di rostrum itu. Tapi tahun ini alhamdulillah, katanya untuk pertama kali sepanjang sejarah persidangan yang telah masuk tahun ke 15, saya yang berasal dari jawatan 'kebanyakan' ini tersenarai bersama2 'mereka'. Mungkin ada yang telah melihat bahawa kami orang 'kebanyakan' juga mempunyai bakat tetapi selalu tidak dipandang untuk diketengahkan.

Apa2 pun saya bersyukur dengan bakat yang Allah berikan untuk saya. Ada yang berkata, menjadi emcee merupakan permainan saya tapi ada kalanya kite terjatuh atau kalah dalam permainan. Walau dah berkali2 berada di atas pentas atau di rostrum, saya pasti akan berdebar untuk memulakannya. Biasanya untuk setengah minit pertama... bila dah lepas part permulaan, barulah enjin saya akan lebih umpph... ehhehe. Kali ni debaran lebih kencang la kan... yer la.. first time ni nak keluarkan suara untuk event peringkat nasional kerajaan.. pastu kali ni all in english. Lama dah tak mengacara event in english, sejak meninggalkan private sector dulu.. almost 4 years la...heheh. Tapi alhamdulillah.... first session saya berjalan dengan baik dan lancar. Mudah-mudahan 3 lagi sesi esok dan lusa pun outputnya sama.. Tima kasih atas sokongan semua kawan2 di IM***C. InsyaAllah.. akan saya buktikan orang 'kebanyakan' mcm kita mampu serba serbi....

Friday, November 26, 2010

LULUS

Bermakna sungguh petang jumaat saya. Alhamdulillah saya lulus exam ITIL v3 yang saya duduki awal minggu lepas. Gembiranya saya tak terkata. Exam tu boleh la dikatakan susah. Dengarnya ada yang gagal... 5 minggu berkursus dengan cikgu yang sakit (rujuk entri lepas la ye...). Punyer la lost masa memula kursus. Pastu alhamdulillah.. saya pulun study sendiri. Buku rujukan memang tebal habis.. contoh soalan pun ada kat 800 untuk dibuat latihan. Punyer la banyak...heheh


ITIL v.3 Foundation pin

Saya happy.. saya kongsikan kegembiraan saya dengan keluarga dan kawan2. Yang utama suami saya la.. sangat memahami.. sepanjang seminggu saya tak perlu sibuk untuk masak makan malam dan hujung minggu semata2 nak saya rest dan study. Itu la suami saya... sangat supportive, dia selalu bagi semangat dengan apa yang saya nak buat. Thanks Yang... Pastu mak ayah saya, adik saya... mereka2 ni la yang selalu doakan saya. Dah jadi rutin saya, sebelum masuk dewan/bilik exam saya akan call emak dan ayah minta restu walau hanya exam kecil. Saya percaya pada doa emak dan ayah.. Then anak2 saya terutamanya Aszra. Malam terakhir sebelum exam saya decide utk study habis-habisan sehinggala berlarutan sampai kul 4.30 pagi. Dan sepanjang itu lah Aszra menemani saya. Bila suruh masuk tidur dia kata kesian ibu study sorang2... Dia cuba faham konsep exam dan saya bagitahu dia, dia pun akan ambik exam bila masuk sekolah nanti. Asyif pulak, x banyak meragam. Dia pandai bawak diri. Alhamdulillah.. saya dapat cover semua topik dan buat semua soalan latihan. Kat ofis pulak...saya ada kawan2 yang juga selalu bagi semangat kat saya... Mereka lah keluarga saya di ofis, sentiasa bagi sokongan dan mendoakan saya... thanks guys.. u all the best officemates yang saya pernah jumpa.. Sato, Fiza, Mira, Fatihah, Laily, Jamaliah & Nadhirah...

Thursday, November 25, 2010

Mode Makeover

Salam petang-petang khamis ni. Tiba2 je terasa nak menaip kat blog ni. Lately ni saya memang sibuk sikit. November ni memang bulan yang banyak kerja la pulak. Start ngan exam, pastu sekarang ni sibuk ngan persidangan. Montaj la.. jadi emcee la.. huhuhu, tetiba lak P*D jemput saya jadi emcee... yer la, saya kan orang kebanyakan. Tapi ngeri la jugak kan. First time ni nak join orang2 'atasan' ni.

Actually nak citer benda lain. Suka melalut benda lain. Seminggu ni nampaknya saya ngan family akan bergelumang la ngan pasir ngan simen dan segala habuk. Hari ni pasir dan simen dah sampai. Esok tiles pulak... nak buat apa semua tu? Buat umah baru ke.. eheheh tak ler. Selepas genap 2 tahun kami duk kat Rumah Kami tu, so alhamdulillah ada rezeki sikit nak buat makeover kat umah tu. Dulu masa awal2 masuk hanya concentrate bab2 dalam umah je, buat grill, beli sofa, meja makan, kitchen cabinet... ribu-riban udah terbang. So kali ni, nak bagi lawa yang kat luar pulak. Actually ada beberapa perkara yang akan disentuh. So, yang terdekat bermula sabtu ni. Kami pasang tiles kat porch depan, kaki lima dan simen bahagian belakang tepi rumah. Rumah saya kan type Semi-D link, so 5 kaki terakhir tu kami simen. Plannya nanti nak buat sink kat luar ke.. danbuat tempat masak2 kalau ada kenduri kendara.. itu plan fasa 1 la... nak tahu fasa seterusnya kena tunggu la...
ni gambor umah kami masa memula nak pindah.. tak ada tiles pun...

Sunday, November 21, 2010

YAMAHA Concert 2010

Salam malam ahad. Hari ni mcm terfollow la pulak sukan asia. 2 emas lagi Malaysia dapat melalui sukan skuash.. siapa lagi kalau bukan Nicole David.. dan yang lelaki lak Azlan Iskandar (mcm muka pakistan mamat ni...). Tahniah Malaysia..hopefully target 9 emas tercapai la.. Ni tengah layan badminton final pulak..


Actually nak citer sikit.. semalam, 20 nov 2010.. Aszra nyer konsert. Biasa la, hujung tahun.. semua center buat konsert. So.. Yamaha Music Setia Alam buat konsert di Setia Avenue. Dekat je dengan Rumah Kami. Pagi kul 10.30 dah start rehersal. Ramai jugak student Yamaha Setia Alam ni.. Saya tak tengok full rehersal coz ibu bapa tak dibenarkan tengok.. ye la, tunggu je la konsert malam nya nanti kan...

Then sebelah petang.. .6.45 ptg dah kena hantar lapor diri. Aszra dan group dia JMC Primary 1 pakai baju purple. Aszra the only melayu dalam kelas dia. Diaorg ni enam orang satu group paling muda kat situ. Yer la.. baru primary 1 kan. Boleh nampak la, group diorg ni la yang mcm malu2.. masih baru dalam buat2 konsert ni. Aszra pun first time kan nak naik pentas besar. Saya pulak yang berdebar...Group Aszra buat performance no 3, diorg kena main piano/organ lagu I'm a King dan lepas main kena menyanyi lagu Come and Play with Me.. Si Aszra ni bab2 main piano tak ada masalah... smooth je, tapi bila part dia nak kena nyanyi sambil menari2 atas pentas tu la yang dia mcm malu2.. mula lagu tu dia hanya nyanyi je..bila dah tengah2 baru la nak buat gaya... sama jugak ngan kawan2 dia tuh... ehheehh.. kelakar tengok kerenah budak2 kecik buat performance ni. Ada yang sibuk ketuk2 mic la... ada yang tak nak turun pentas la.. Apa2 pun, ini adalah permulaan untuk Aszra. Next year dah masuk sekolah tadika.. so mcm2 lagi yang dia akan tempuh. Music class pun insyaAllah akan kami teruskan selagi dia minat. Sekarang ni dia sibuk mintak ayahnya belikan piano besar.. tiap kali habis kelas, mesti tunjuk ada satu piano tu... tunggu la, kalau kami nampak minat dia besar dalam music ni..insyaAllah ayah belikan.... ibu pun dapat la merasa jugak..ehehheheh.. Untuk Aszra.. ibu bangga dengan Aszra...







p/s: gambar dan video semua dlm FB...

Thursday, November 18, 2010

Qurban tu apa?


Salam petang khamis. Lebat betul hujan petang ni. Saya kerja hari ni.. ramai org masih cuti. Saya ambik cuti hari selasa lepas. Saja ambik sehari sebelum raya haji. Kami balik Seremban. Turn raya kat sana. Lagi pun tahun ni Tok Wan buat Qurban untuk Asyif. Terima kasih Tok Wan. 3 tahun lepas Tok Wan buat Qurban untuk Aszra jugak. Memang semua cucu Tok Wan buatkan Qurban. So, pagi raya lepas sembahyang, en Asrof bawak anak2 gi tengok lembu kena sembelih. Becok si Aszra bercerita tengok lembu tu kena potong leher. Siap cakap, sian lembu tu kan ibu. Pastu tanya, kena bila hari raya nak kena potong kepala lembu? Saya pun jawab... ni la dia hari raya Qurban.. pastu dia bantai balik tanya.. Qurban tu apa ibu?.. adoii.. banyak soal la pulak minah kecik sorang ni. So, citer la jugak pasal Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail tuh.. pastu makin banyak la soalan dia tanya... sabar je la. Nak tak nak kena jawab la kan.. nanti merencatkan keinginan dia nak tanya mcm2 la pulak... biasa la tu la namanya learning proses. Sebagai mak bapak ni kite kena banyak sabar.... banyak berkorban..(tema raya korban...heheheh)


Lepas zuhur kami balik pulak ke Kapar.. raya pulak ngan mak ayah saya. Tu la untung rumah mak ngan mak mertua ni tak jauh mana.. ehehhehe. Tahun ni juga, saya dan adik buatkan qurban untuk mak dan ayah.. Alhamdulillah... tercapai hajat saya dan adik. Tinggal satu lagi hajat besar yang saya nak tunaikan untuk mak dan ayah.. Saya nak hantar mak dah ayah pergi haji. Tahun depan cukup la duit saya...InsyaAllah... ada rezeki, sampai la serunya nanti. Saya berdoa sangat2 mak dan ayah saya diberi kesihatan yang baik dan dipanjangkan umur.. saya harap sangat niat saya tu sempat untuk mak ngan ayah.. "Ya Allah.. permudahkan lah niat ku Ya Allah.... ". Doakan untuk mak dan ayah saya juga yer.... Tima kasih...

Thursday, November 11, 2010

School Uniform


Hari ni saya masuk lambat ke ofis.. kena jaga anak2 dulu sebab mak dan ayah ada medical checkup kat klinik kesihatan. Rupanya en asrof pun dah ambik half day sebab dia ingat saya tak leh half day maklumlah tengah training kan.. tapi saya ok jer.. ehheheh belajar sendiri lagi bagus kot.. tapi belah petang saya masuk la kelas kan.

Sementara ada masa tadi sempat la saya bawak si Aszra gi NURI. Nak settlekan balance bayaran untuk persekolahan dia tahun depan tuh. Lega dah bayar habis.. tapi untuk pendaftaran dan bulan pertama je la kan. RM 1560 semuanya.. Lepas ni kena bayar bulan2 RM 240 setiap bulan. Macam masuk universiti je..hehehe... So, masuk2 je.. ada group of budak2 tengah buat aktiviti. Tetiba je diaorg greet "Good Morning Auntie"..heheh terkejut saya sekejap... bagus la, ajar bebudak hormat org tua. Lepas settle bayar semua, principal Jesse serahkan uniform ngan beg sekolah. Dapat lah 2 helai uniform dan sepasang baju sukan. Balik2 je terus la si Aszra tu try baju dia.. sambil2 try baju tu .. terfikir saya.. anak saya ni dah makin besar dah. Dah sampai masa nak gi sekolah dah rupanya.. cepat betul masa berlalu.. apa2 semoga Aszra dapat pendidikan yang terbaik kat sekolah nanti... InsyaAllah

Wednesday, November 10, 2010

Bila cikgu sakit perut

Hari ni hari ketiga saya training... tak tahu la cam mana nak exam ni. Good news exam tunda ke hari Isnin. So ada masa nak study weekend nanti. Tapi sampai hari ni mcm apa yang diajar masih belum membantu kami untuk jawab exam. Aduhaiii... al kisahnya trainer ITIL ni.. ada penyakit la pulak. Dia memang ada masalah gastrik la..esofagus la. So cannot eat spicy maaa... (tukar slang sebab trainer tu cina). So bila time makan, dia pun ikut la makan kat dewan makan. Hari isnin dia ikut, pastu masa dlm kelas dia sakit perut sampai terbongkok2.. terus gi toilet, lama giler lak tuh. Sib baik ok.

Hari kedua dia datang lambat sebab gi klinik dulu coz dia ni ada sakit pinggang jugak due to accident setahun lepas. So tak leh la berdiri lama sangat. Hari ni lak... tengah2 mengajar boleh la pulak dia sendawa punyer la kuat.... pastu terus cakap 'sorry..sorry.. perut I banyak angin lorr'. Pastu time makan dia ikut lagi.. menu hari ni nasi ayam.. dia pun bantai makan... Ada boss we all yg duk semeja ngan dia citer tadi.. tengah makan tu leh pulak dia sendawa kuat...disertai dengan kentut kuat lakkk....huhuhuhuh... nak pecah perut kiteorg dengar boss tu citer.. sabor je la. Pastu masuk kelas lepas lunch.. dia mengajar sekejap pastu muka dia pelik..pastu dia keluarkan bunyi mengerang la pulak. Sakit perut balik. Terus kata..."I nak pergi toilet...the big one..." sambil terbongkok2 pegang perut. 15 minit lepas tu dia masuk balik. Still muka berkerut2.. Memang nampak sakit sangat.. siap ckp.. not the solid one.. but soft and wateryyy.....errkkkkkkkk.... jangan muntah yer..ehhehehe sabor jer la. Pastu dia gi lari balik ke toilet. Sian pulak kat dia. lepas 20 minit dia masuk balik..masih dengan wajah kesakitan. Pastu siap bagi tahu.. underware dia dah terkena.. dia dah basuh dan seluar dia dah basah... haiyyoooooooo. Akhirnya kelas kena stop sebab dia nak baring ..tak larat.. aduhai. Semua dah tepuk dahi. Dah la course ni bayar sorang 3500 (gomen bayar la). Course susah lak tuh.. bukan senang soalan dia.... kena study sendiri la nampaknya....huhuhuh

Monday, November 08, 2010

Training + Exam Mode



Lamanya saya tak post apa kat blog. Sian blog saya ni. Sebab utama ialah malas. Kedua ialah.. saya pun agak busy kebelakangan ni. Hari2 kat ofis sibuk kerja la.. sib baik la sasaran kerja tahunan dah tercapai coz dateline 29 oktober hari tu dapat di capai..Alhamdulillah. Sekarang ni pulak saya tengah kursus. Start hari ini. Ni kursus profesional. ITIL Certification Course. Search sendiri la apa ITIL ni yer. Saya kena sit exam Jumaat ni untuk certified.. Buku dia punyer la tebal. Trainer pun asyik menyebab kan kami tergelak jer.. cam mana nak masuk otak ni. Saya ni dah lama tak exam sejak ambik undang2 perintah am last 2 years. Doa2 moga saya lulus dan certified la yer...

Tu citer kerja. Citer kat umah pulak.. biasalah anak2 saya membesar bagai johan esp si Asyif tuh. Asalkan dia sihat ok la kan. Si Aszra pulak dah nak akhir tahun ni sibuk ngan training konsert YAMAHA 20 Nov ni. Dia kena perform main organ. Saya lak berdebar.. even perform ni in group tapi yer la.. first ni nak tengok anak saya perform music depan public. Hopefully Aszra boleh main dengan baik nanti... saya akan cover citer tu nanti la.... ni nak concentrate study la..ehhehe

Monday, October 18, 2010

Bila koboi masuk hutan

Saya masih lagi terasa letih hari ni. Semalam sempat jadi koboi sekejap.. heheheh. Actually saya dan 4 orang rakan ofis join aktiviti Explornita 2010 anjuran Puspanita Cawangan Kecil JPA. Aktiviti ni dijalankan di FRIM Kepong. So.. ada aktiviti jungle trecking dan treasure hunt la. Bila Puspanita yang anjurkan.. maka fesyen pun salah satu agenda penting. Ada pertandingn best dress. Mulanya kami nak cari baju celoreng askar dan pakai topi koboi ala2 askar juga... tapi jenuh masih uptown, keluar downtown tak jumpa2 baju askar tuh. Last2.. saya beli baju kadet bomba dan penyelamat yg jual di kedai uniform sekolah... smart jugak kan..hehehe.

Aktiviti ni menyeronokkan. Kat FRIM ni mcm2 la ada dan banyak yang kami belajar. Tengok rotan terpanjang, buluh terbesar dan ada pulak pokok yang akarnya mcm gajah.. Subhanallah.. cantik betul alam ciptaan tuhan ni. Alhamdulillah...kami menang best dress. heheheh.. ada team yang pakai mcm sesungut lady bird la.. yg pakai kain pelikat pun ada tau. Macam2 ragam.. Tapi part treasure hunt kami dapat sagu hati. Tak ada rezeki menang hadiah besar... ada la silap mana2 tuh..heheheh apa2.. kami enjoy... dan thanks untuk team mate saya yang sangat2 sporting.. iaitu Puan Roszaini (one of our boss), Suzie a.k.a Sato (jenuh cari topi), Kak ISZ Norhayati (ada talent jadi model majalah).. dan Yani (walaupun baju tu terbesar sikit tapi berbaloi2...sebab menang...)..heheheh.

p/s: more gambar dlm FB

Wednesday, October 13, 2010

I need foot massage

Kaki saya hari terasa sangat la lenguhnya. Especially kat tapak kaki. Bangun2 tido tadi rasa sakit nak pijak lantai... Ini la penangan 2 hari suntuk di KLCC. Shopping?? Shopping mende nyer.. huhuhuh... INTAN dan MDEC anjurkan National ICT Conference 2010 untuk kali ke 2. Tahun ni saya terpilih sebagai Sekretariat Induk. Sejak bulan Jun hari tu kami dah start bertungkus lumus. Jenuh juga nak handle conference ni. Alhamdulillah... berjalan dengan lancar conference ni. Tahun depan saya telah di booked sekali lagi...hadoiiiiiiii...


ni saja nak tayang nama dlm program book...huhuhuh


Monday, October 04, 2010

Budak kecik 8 bulan


Lama saya tak bercerita tentang anak kecik saya. Asyif berumur 8 bulan 2 oktober lalu. Sekarang ni Asyif tengah selsema dan batuk. First time sejak kelahirannya, dia kena batuk dan selsema. Berjangkit dari kakak kot. Sekarang ni Asyif dah pandai duduk, berdiri dan berjalan menyusur meja atau mana2 tempat yang boleh dipegang. Saya agak terkejut dengan perkembangan dia yang sangat cepat. Dia mula meniarap pada usia 5 bulan. Saya dah risau masa tu sebab kalau ikut si kakak, 3 bulan setengah dah meniarap dah.. Lepas tu umur 6 bulan pun x merangkak lagi. Bila cecah 7 bulan je, dia pun mula merangkak tapi x laju pun. Pastu tak sampai 2 minggu dia dah boleh berdiri sendiri la pulak. Pastu dalam beberapa hari lepas tu terus dah boleh berjalan menyusur tepi2 meja atau kerusi. Cepat la pulak.. Alhamdulillah... setiap baby lain2 prestasi nya. Asyif memang seorang happy baby. Jarang menangis.. bising bila dia nak susu atau nak tidur je. Selain tu dia selalu mengukir senyuman manis dia.... Semoga Acip cepat sembuh yer. Kesian tengok dia asyik selsema dan batuk.. sib baik makan ubat dia ok.... Good boy anak ibu...

Monday, September 27, 2010

Pencarian Itu Berakhir

Saya telah mula survey tentang tadika Aszra sejak dia berumur 3 tahun lagi, sejak dia mintak untuk dihantar ke school. Oleh kerana saya tidak mahu Aszra ke sekolah seawal 3 tahun, maka saya masukkan dia ke Tumble Tots sepanjang tahun 2009 dan kini dia saya hantar ke YAMAHA Music School. Alhamdulillah.. dia di Grade Dua Yamaha Junior Music Course yang mengambil masa 2 tahun. Aszra kini boleh membaca note basic dan bermain dengan piano tetapi masih basic. Alhamdulillah..

Tahun depan Aszra akan mencecah 5 tahun. Sudah tiba masanya kami menghantar dia ke sekolah. Sebelum ini hanya home schooling dengan saya je.. Dia dah mengenal dan menulis ABC, numbering dan juga buat proses penambahan dan penolakan. Begitu juga mengaji, dah masuk ke buku Qiraati 2. So, dalam sebulan dua ni saya membuat survey secara active tentang tadika2 yang ada di sekitar Setia Alam. Macam2 ada. Smart Reader (SR), NURI, Little Caliph (LC), Q-Dees, Cambridge, KUMON, ENOPI dan berpuluh2 tadika biasa. Pening kepala saya nak pilih. Final lists saya ialah LC, SR, dan NURI. Tapi setelah macam2 pertanyaan dan lawatan yang saya buat, kami suami isteri memilih tadika NURI. Sebenarnya mana2 pun sama, kerana setiap tadika yang saya lawati mempunyai kaedah pembelajaran dan sistem yang bagus dan semuanya sudah terkenal. Tetapi antara ciri utama yang menjadi pertimbangan saya ialah..


1. keselamatan anak saya dibawah jagaan tadika tersebut (terdapat tadika yang tidak mampu menjaga semua pelajar.. ada jiran yang anak2 balik dengan berdarah2 la.. sebab bergaduh).

2. Jumlah pelajar dalam kelas.. NURI limit kan satu kelas 12 orang sahaja compare LC yang mempunyai jumlah pelajar 20 orang untuk seorang guru. Ini penting supaya guru dapat fokus pada pelajar..

3. Bahasa pengantar nya ENGLISH.. anak saya sudah fasih berbahasa melayu, jadi saya mahu dia mampu fasih berbahasa inggeris..so, sekolah adalah tempat paling sesuai memandangkan di NURI, mereka tidak menggunakan bahasa melayu kecuali subjek bahasa melayu.

4. Mempunyai subjek pendidikan agama islam. (niat awal saya ingin hantar Aszra ke tadika yang islamic tetapi setelah disurvey dan ditanya2.. tadika tersebut tidak menepati ciri-ciri 1-3 di atas. InsyaAllah, menjadi tanggungjawab saya dan suami untuk mendidik Aszra dengan pegangang agama.

5. Yang penting ASZRA SUKA. Ya. Dia pun memilih NURI tanpa ada hasutan atau paksaan..


So, selepas setuju dan mengambil kira semua aspek, minggu lepas, kami registerkan dia. Yuran pendaftaran.. hmmm.. macam nak daftar master degree la... RM 1560 .. Monthly pulak RM 240. NURI agak mahal sikit compare to LC dan SR di Setia Alam ni.. Bagi yang belum mengenal NURI boleh masuk ke website nya.. http://www.nuri.com.my/. Tadika ini sangat popular di JB. Kaedah pembelajaran berasal dari Singapore. Di Selangor baru ada 3 branch, Setia Alam, Puchong dan Seksyen 7 Shah Alam. Saya dan suami memang lega... sebab pencarian kami bab2 kindergarten dah pun tamat.. tunggu Aszra nak masuk sekolah je..

Wednesday, September 22, 2010

Syukur.. Ia masih rezeki ku

Salam 13 Syawal.. saya panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT, membuatkan saya termenung sejenak, insaf di atas kekurangan diri.

Saya hampir kehilangan telefon bimbit kesayangan saya di tandas ofis lewat petang semalam. Atas kelalaian saya sendiri. Sampai di rumah emak baru perasan, hp tidak ada di dalam beg. Alhamdulillah... en Asrof bersetuju untuk berpatah balik ke ofis saya dan Alhamdulillah juga, hp tersebut masih terletak di situ dalam keadaan baik. Hp itu masih menjadi rezeki saya. Berfikir saya seketika... apa jua yang ada pada kita hari ini, boleh hilang sekelip mata.. Andai telah tertulis takdir ia terjadi, maka terjadi lah ia.

Terima kasih Ya Allah, mengejutkan saya yang kadang-kadang terleka.

Monday, September 20, 2010

Meriahnya Raya

Salam Aidilfitri. Aduhaiii.....dah sebulan lebih saya tinggalkan blog saya ni. Last update awal puasa hari tu. Antara faktornya adalah tahap kemalasan yang sangat tinggi diikuti dengan beban kerja yang sangat banyak. Ni naik dari cuti raya pun, mcm tak menang tangan rasanya saya ni.


Oh..dikesempatan bulan Syawal ni, saya nak ucapkan Selamat Hari Raya untuk semua kenalan, saudara mara, sahabat handai yang jauh dan dekat.. Saya juga menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat kesilapan saya samada yg saya sedar atau pun tidak.. Kira 0-0 la yer...eheheh. Bercerita tentang raya, Raya pertama saya di Kapar dan dapat la beraya di rumah saudara mara sekitar Klang, Port Klang dan Shah Alam. Raya kedua balik ke Seremban. Raya ke 3, saya dan keluarga mertua pulang ke Mersing. Raya ke 5, turun ke Johor Bahru dan terus balik ke Setia Alam... hari-hari seterusnya meneruskan aktiviti menziarahi sanak saudara la...Alhamdulillah, ramai yang dapat saya temui raya ni. Dan yang paling manis, Raya tahun ni, ada hati yang berbunga riang sambil mengucapkan syukur atas keajaiban yang diberikan.... Selamat Hari Raya!



Wednesday, August 11, 2010

Ramadhan datang lagi


Salam 1 Ramadhan. Alhamdulillah...bertemu lagi dengan bulan yang penuh kemuliaan dan keberkatan ni. Tahun ni, hajat saya untuk berpuasa penuh nampaknya tidak kesampaian.. tidak seperti tahun lepas, saya berpuasa penuh ketika mengandungkan Asyif. Seronok kerana tak perlu mengganti puasa. Tapi tahun ni... memang tak dapek la.. saya telah menjalani kehidupan wanita biasa bermula bulan lalu. Pada fikiran saya ibu yang menyusu mungkin dapat berpuasa penuh, tapi sangkaan saya meleset. Heheheheh. Sempena bulan yang mulia ni, marilah kite sama-sama menunaikan ibadah sebanyak mana yang kita mampu... semoga setiap amal yang kita lakukan di bulan ini mendapat keberkatan. Selamat berpuasa semua...

Monday, August 09, 2010

Menuju Puncak............Broga

Tajuk entri ala2 akademi fantasia..heheheh. seminggu yang lalu, kak dura citer tentang plan dia nak mendaki Bukit Broga di Semenyih. Wah...sound nice. Dan saya akhirnya mengajak en asrof utk turut serta. Thanks Kak Dura and Ted yang ajak we all join this activity.

Pagi Ahad, seawal pukul 4.30 pagi kami sudah berada di kaki Bukit Broga. Gelap.. Ada 22 orang kesemuanya. Oh, lupa saya nak perkenalkan.. Team yang saya ikut ni ialah Team PELOPOR.. Diaorg ni group yang suka adventure2 ni la.. turun naik gunung..masuk keluar gua. Rata2 memang dah berpengalaman la.. cuma saya dan en asrof dlm kategori baru la...heheh. Saya pernah la join aktviti mendaki ni..tapi time kat universiti dulu la.. lepas kawin.. dan beranak pinak , memang x join dah. So..kali ni saya nak test stamina saya. Perjalanan ke puncak ambil masa dalam satu setengah jam kalau tak silap saya.. Ada 4 puncak. Memula ingatkan dah sampai kat satu puncak tu dah la kan...rupanya ada yang lagi tinggi. So.. mendaki la kami dalam gelap dan bertemankan cahaya lampu suluh. Memang tak nampak apa2. Apa yang ada didepan..kami redah ajer.. Alhamdulillah sekitar 6 pagi, sampai la kami di puncak 4 selepas mengharungi pendakian yang mencabar la kan utk org2 baru macam saya. Ada part kena panjat guna tali tuh... risau jugak maklumla.. berat badan saya ni bukannya menarik untuk tergantung kat tali..ehheheh

Di atas puncak.. semua berehat.. sempat juga tidur. Dari atas, kami dapat lihat,ramai betul manusia2 lain yang sedang mendaki. Glamour jugak tempat ni... Dalam pukul 8 ++ kami bergerak turun sambil melakukan aktiviti fotografi. Puas la.. memang cantik pemandangan alam ciptaan tuhan ni... Saya dan en asrof tiba di kaki bukit sekitar pukul 10.45 pagi..alhamdulillah.. berjaya naik dan turun dengan selamat. InsyaAllah kalau ada kekuatan lagi..ingin kami tawan gunung pulak...ehehehheheh

Gambar lain semua dlm FB...


Friday, August 06, 2010

Kembali beraksi


Hari ni terasa sangat penat. Walau pun cuti, tapi hari saya penuh dengan kerja. Kerja apa yer.. ehhehe.. Akhirnya selepas menolak banyak permintaan sebelum ini, saya telah kembali membuka oven lama, menjejak kaki ke kedai bahan kek.... Ya.. saya dah kembali dengan hobi saya iaitu buat cupcakes..hehehe.. Sengaja saya ambil cuti, memandang ni order pertama yang saya terima selepas setahun lebih saya bercuti. Saya perlu beli semua stok bahan2 kek. Maklumla..yang lama2 semua dah expired..dah ke tong sampah. Lagipun untuk first time ni saya nak kena adjust balik timing masa dan sukatan.. serius.. saya dah lupa sukatan.. Tapi kali ni best sebab ada pembantu yang boleh tolong saya.. dia tolong kira, tolong masuk dlm kotak.. dan tolong menyepah kan pun dia juga... Thanks anak ibu....


Alhamdulillah..sekitar 3.30 ptg, siap sudah 100 biji dan pukul 4.30 ptg, cupcakes tu dah bertukar tangan kepada tuan empunya nyer.. Thanks to Kak Raja, yang membuatkan saya kembali menghidupkan api oven lama emak.. Ada yang tanya saya memang akan ambil order tak... yup, saya ambil order, tapi setakat ni hanya untuk tempahan weekend dan untuk weekdays depends berapa banyak dan availability saya.

Wednesday, July 28, 2010

Perlukah saya MARAH?


Saya bukan orang yang mudah marah. Tapi kadang-kadang saya terasa nak marah. Dalam seminggu dua ni, tiba2 Aszra request ayahnya untuk tunggu dia mengaji. Waktu mengaji mula pukul 8 hingga 9. Selalunya lepas hantar, kami akan balik (rumah tak jauh pun) dan bila kul 9 baru jemput di balik. Lately ni pulak dia mcm nak suruh tunggu sampai menangis2. Bila saya tanya kenapa.. katanya takut. Bagi saya mungkin Aszra ni sengaja mengada sebab ada juga ibu bapa lain yang rajin tunggu anak kat situ (maybe rumah jauh kot). So.. bermula lah ayahnya nak kena tunggu tiap2 hari. Saya balik rumah je..


Isnin malam, saya terasa nak tunggu sama kat atas. Bawak la di Asyif sekali. By the time saya naik, Aszra sedang mengaji dengan ustazah. Ustazah baru kalau tak silap saya. Aszra pun ada inform dia ada ustazah baru. Suka la saya sebab berpeluang dengar anak saya mengaji. Ustazah ni tak perasan kot, saya ada kat situ. Saya dengar je cara dia mengajar. Ada part yang mungkin Aszra lupa atau lambat nak sebut (what do u expect budak umur 4 tahun boleh ingat semua ke?).. tiba2 ustazah ni macam nak marah pulak. Dia macam nak tengking pastu sebut "Aszra..takkan ni pun tak tahu.. ni kan sama je macam yang ni.." dengan nada yang bagi saya agak keras untuk seorang kanak-kanak kecik macam Aszra. Sabarnyer saya. Gerak gaya ustazah ni pun nampaknya macam tak friendly je.. Bila dah habis, saya terus ajak Aszra balik. Saya tak boleh lama kat situ, takut nanti saya naik angin.


Saya bukan nak marah membabi buta. Saya tak kisah, kalau Aszra kena marah atau dihukum sebab dia bermain ke.. atau tak dengar cakap ustazah ke. Saya boleh admit. Tapi kenapa dia perlu dimarahi ketika dia sedang membaca dan cuba untuk mengingati apa yang dipelajari. Bagi saya ustazah ni nampak macam tak sabar.. tak boleh bagi masa untuk budak2 berfikir ke? Saya tahu, Aszra tahu baca apa yang dia dah ajar, cuma kadang2, dia akan ambil masa untuk berfikir especially bila dia jumpa huruf2 yang mcm-mcm bentuk (Cth: huruf Ha je pun dah ada 4 jenis). Anak saya baru 4 tahun la..bukan dah darjah 1. Saya ada suruh dia ulangkaji kat rumah...then ok je dia baca. Saya tak faham kenapa ustazah ni macam tak ada kesabaran sedangkan kalau nak mengajar, kesabaran tu la yang paling tinggi. Tu la.. bukan mudah nak jadi ustazah/guru untuk budak2 kecik ni. Sebelum ni, Aszra tak ada masalah dengan ustazah lain. Ustazah pertama dan kedua dia, dua2 bagus. Orang nye lembut..mengajar pun sangat sabar. Sebab tu Aszra happy bila balik mengaji. Dia kata ustazah selalu puji.. Kadang-kadang, budak kecik macam ni dia perlukan sokongan dan pujian. Baru dia bersemangat. Bukan dengan suara yang kasar. Sikap macam ni lah yang boleh buat anak-anak kecil tak minat mengaji. Saya hantar Aszra ke kelas muzik.. sangat berbeza, guru muziknya sangat friendly.. malah selalu bagi pujian sebab nak makesure budak2 ni suka belajar. Masa Aszra di Tumble Tots pun sama, teacher2 dia memang senyum je.. sabar layan kerenah budak.. Tapi sekarang part mengaji, saya risau Aszra jadi takut nak gi kelas. Kenapa ye.. bila bab2 mengaji mesti nak kena garang2?


Last nite saya bincang dengan en asrof. Katanya saya ada point untuk marah. Tapi seperti yang saya katakan, saya tidak akan marah membabi buta. En Asrof minta saya pantau sekali lagi. Jika saya dapati ustazah ini masih dengan kekerasannya, saya tidak teragak-agak untuk bersemuka dengannya untuk memberi pendapat saya. Atau jika tiada kesan, saya akan bertemu terus dengan pengetua nya. Kami ada hak..kerana tiap2 bulan, kami hantar anak bukan percuma!

Tuesday, July 27, 2010

Not Bad Imigresen Malaysia


Pagi tadi ke Imigresen di Pusat Bandar Damansara utk urusan renewal passport. Saya tiba2 terkagum, rupanya kejap aja nak renew passport ni. Senang pulak tu. Yang penting kena ada passport lama, 2 keping gambar, KP asal dan salinan dan RM 100. Lepas urusan serahan perkara tadi tu, hanya perlu tunggu tak sampai sejam..dah pun dapat passport tuh.... bagus1bagus! Memang lama dah ke sistem cam gitu digunakan atau saya yang mcm terjakun kejap sebab dah lama tak ke imigresen? Bukan apa, balik ke tahun 2004 dulu, saya pernah buat paper pasal Kiosk Penggantian Passport (KiPPAS) Imigresen ni untuk salah satu subjek masa saya buat Master Uitm dulu. Masa tu orang gi kaunter pastu tunggu 3 hari baru nak dapat passport baru. So..KiPPAS ni, kaedah alternatif la, orang tak perlu tunggu lama2.. pastu tak payah gi kaunter. Just hantar passport tu kat kiosk dan bayar. Pastu dalam sehari dapat la new pasport tuh.. Tapi sekarang kat kaunter pun dah laju... Sempat jugak saya tengok kiosk tu masih ada dan ada orang tengah guna. Bagus la kalau semua perkhidmatan kerajaan buat cam gini. Tak perlu tunggu lama-lama dah...