Tuesday, May 30, 2006

Sayang ku ASZRA (part 1)


A'kum..
Salam di malam selasa..30 Mei 2006...
Hari ni, dah dua hari axa menjalani kehidupan sebagai seorang ibu... 2 hari dah berpantang. Alhamdulillah baby Aszra selamat dilahirkan pada pukul 2.51 pagi, 28 Mei 2006. Macam tak percaya je axa dah jadi seorang ibu...kalau sebelum ni, perut ni terasa berat, tapi hari ni rasa ringan, walaupun kepenatan masih bersisa...
Jumaat, 26 Mei 2006.. seperti biasa axa ada appoinment ngan doktor..sebab kandungan dah masuk 37 minggu. Pagi tuh mcm biasa la, axa dan ayah baby ke hosp. pantai Cheras. Rutin..sampai2 terus buat urine test dan masuk jumpa doktor. Tapi kali ni doktor agak terkejut coz kandungan protien dlm air kencing axa tuh tinggi +3. Last week +1 je. So doktor check BP..3 kali doktor check nak make sure BP tu tepat. Hmmm rupa2nya... BP axa tinggi. Lepas buat scan..doktor kata baby ok..sihat.. tapi apa yg memeranjatkan axa dan ayah baby.. doktor arahkan axa masuk wad hari tuh juga coz tak nak ada apa2 risiko kat axa bila BP tinggi. Doktor kata, axa perlu bersalin utk elak axa dari terkena sawan yg boleh membahaya kan axa... Nak buat cam mana.. ikut la kata doktor
Tengah hari tuh..axa dan ayah baby sempat gi mcdonald beli big Mac.. yer la.. sebelum axa bersalin, baik makan puas2. Sampai rumah, mak, ayah, mak mertua dan ayah mertua axa dah menunggu. Cepat nyer diaorg sampai. Axa berkemas2 bawak apa2 yg patut sementara ayah baby gi solat jumaat. Kul 3 axa bertolak ke hosp. pantai cheras.. dan axa dimasukkan ke wad....
Kul 5 petang..axa diarah masuk ke labour room..hmm dah nak kena bersalin ke ni?? gerun jugak. Rupa2nya doktor nak masukkan ubat (induce) untuk mempercepatkan axa bersalin. Sakit??hmmm susah nak citer. Masuk ubat pun sakit...Doktor check laluan , baru terbuka 1.5cm.. Kalau nak bersalin kena terbuka 10 cm. Lama nya lagi. Lepas tuh axa masuk wad balik.. tunggu laluan tuh terbuka. Kul 10 mlm axa start sakit. Ini lah yang dinamakan contraction.. sakitnya.. bukan kepalang... tuhan je tahu. Axa dimasukkan terus ke labour room..coz axa boleh bersalin bila2 je.
bersambung.....

Thursday, May 25, 2006

Cerpen - Kembali (Part 4)

Keakraban Adlina dan Ain semakin ketara. Setiap minggu Adlina pasti mengunjugi Ain dengan membawa pelabagai hadiah atau pun makanan. Hubungan yang begitu istimewa ini tidak menjadi masalah pada Fuad. Malah Fuad lebih gembira melihat Adlina yang begitu senang dengan kanak- kanak. Maklumlah, Adlinalah yng bakal menjadi ibu kepada anak-anaknya selepas mereka berkahwin nanti.
Adlina memandang wajah Ain. Begitu tenang sekali dia. Adlina tersenyum melihat gelagat Ain yang sedang bermain dengan anak patung yang baru diberinya sebentar tadi.
“Auntie, Ain comel tak macam anak patung ni?”tanya Ain pada Adlina yang kini mula menggelarnya Auntie.
“Hmmm, sebenarnya anak patung tu yang comel macam Ain.” Jawab Adlina. Ain juga tersenyum.
Adlina terkenang kembali zaman kanak-kanaknya. Seperti Ain, dia juga pernah tinggal di rumah ank-anak yatim selama beberapa bulan selepas kedua – dua ibu dan ayah angkatnya meninggal dunia dalam satu kebakaran di rumah mereka. Hanya Adlina yang dapat di selamat oleh ayah angkatnya. Namun ayah angkat nya juga tidak keluar semula selepas cuba menyelamatkan ibunya di dalam rumah yang sedang terbakar. Ketika itu usianya 12 tahun. Dia ditinggalkan tanpa sebarang harta peninggalan malah yang paling menyedihkan, sehingga hari ini dia tidak pernah mengetahui siapakah ayah dan ibu kandungnya. Hanya seutas rantai milik keluarga kandungnya hingga kini menjadi simpanannya.
Menurut arwah ibu dan ayah angkatnya, Adlina diserahkan kepada keluarga angkatnya oleh sebuah keluarga yang pada ketika itu terlalu susah ketika usianya 4 bulan. Ayah dan ibu angkat Adlina kemudiannya membawa Adlina tinggal di bandar dan selepas setahun, ketika mereka hendak melawat keluarga kandung Adlina, keluarga tersebut telah pun berpindah dan sejak itu mereka terputus hubungan.
Selepas kematian ayah dan ibu angkatnya, Adlina tinggal di rumah anak-anak yatim dan akhirnya dia di ambil sebagai anak angkat sekali lagi oleh seorang janda kaya. Adlina mendapat kasih sayang yang sepenuhnya dari Puan Latifah sehinggalah Adlina berjaya melanjutkan pelajaran ke Ireland dalam bidang perubatan dan menjadi seorang doktor yang disegani.

“Auntie, Ain laparlah,” suara Ain menghentikan lamunan Adlina. Segera dia mengesat air matanya yang menitis.
“Ok, jom kita pergi makan,” Adlina segera mengajak Ain ke cafeteria.
“Assalamualaikum mama,” sapa Adlina ketika melihat ibunya sedang menonton televisyen. Tentu rancangan kegemarannya, Nona. Maklumlah dia seorang wanita korporat. Setiap perkembangan wanita harus dikuti, supaya tidak ketinggalan. Sejak kematian suaminya ketika perkahwinan mereka baru mencecah setahun, Puan Latifah bernekad untuk memajukan dirinya dan tidak pernah terlintas untuk berkahwin. Oleh kerana dia tidak dikurniakan anak, maka Adlinalah satu-satunya tempat dia mencurahkan segala kasih sayang. Ternyata pilihannya tepat. Anak angkat yang diambilnya dari rumah anak-anak yatim itu, benar-benar turut menyayanginya.
“Waalaikum salam… ha, Lina baru balik. Ke mana tadi? Setahu mama Lina takkerja hari ni.” Tanya Puan Latifah.
“Lina pergi lawat Ain mama.”jawab Adlina sambil menghempaskan punggungnya di atas sofa di sebelah Puan Latifah.
“Oh… Ain. Macam mana dengan dia? Dah sihat benar ke?” tanya Puan. Latifah lagi.
“Alhamdulillah mama. Tadi Lina tengok dia dah mula bermain dengan kawan-kawannya. Badannya pun dah semakin sihat.”jelas Adlina.
“Alhamdulillah. Baguslah macam tu. Senang sikit hati kita mendengarnya. Mudah – mudahan dia dapat keluarga angkat yang baik.” Balas Puan. Latifah.
“Tapi kan mama, Lina rasa nak ambil dia jadi anak angkatlah.” Tiba – tiba Adlina memberikan pendapat. Memang sudah lama dia memikirkan perkara tersebut.
“Bagus tu. Tapi mama rasa lebih baik Lina ambil Ain sebagai anak angkat selepas kahwin nanti. Lina dan Fuad pun dah setahun bertunang. Bukankah ikut perancangan hujung tahun ni kamu berdua kahwin. Lina pun dah hampir 27 tahun. Si Fuad kalau tak silap mama dah nak masuk 29 tahun kan. Ha.. sedang elok tu.” kata Puan. Latifah.
“InsyaAllah mama, kalau tak ada aral, kahwinlah Lina nanti. Sekarang ni Lina sibuk sikit dan fuad pun macam tu jugak. Kami pun jarang jumpa sekarang ni. Nantilah Lina bincang dengan Fuad. Cuma Lina takut Fuad tak setuju ambil Ain jadi anak angkat,” terang Adlina. Dia begitu risau sekiranya Fuad tidak dapat menerima Ain nanti. Dia tidak mahu Ain jatuh ke tangan keluarga yang tidak bertanggungjawab. Malah dia tahu, dia mampu membahagiakan Ain sebagaimana mamanya memeliharanya.
Adlina merenung gambar Fuad yang terletak kemas dalam bingkai gambar di atas mejanya. Fuad, lelaki pertama dalam hidupnya. Dia terlalu menyayangi Fuad. Dan dia tahu lelaki itu pun menyimpan perasaan yang sama. Perkenalannya dengan Fuad bermula di hospital tempat dia bertugas. Ketika itu, Adlina baru memulakan tugas sebagai seorang doktor. Fuad merupakan pesakitnya yang pertama dirawatnya. Fuad dimasukkan ke hospital kerana cedera dibahagian kakinya ketika sedang berkelah di sebuah kawasan air terjun. Kakinya patah akibat terhentakpada batu – batu di kawasan tersebut. Adlina yang pada ketika amat gementar menhadapi pesakit yang pertama. Namun Fuad kelihatan tenang kerana hatinya terusik memandang doktor muda yang begitu lembut sedang merawatnya.
Sejak itu hubungan mereka semakin akrab. Selepas sembuh dari kecederaannya, Fuad sering ke hospital tersebut bertemu Adlina. Semata – mata uneuk menunjukkan keikhlasan cintanya pada Adlina, Fuad sanggup menghadiahkan jambangan bunga kepada Adlina setiap hari selama 2 bulan sehinggalah hati Adlina berjaya ditawannya.
Adlina tersenyum tatkala teringat kisah percintaannya dengan Fuad. Dan kini dia bakal meneruskan dan berkongsi hidup dengan lelaki idamannya. Dia tahu pilihannya tepat. Fuad seorang yang setia pada janjinya. Adlina juga begitu menyenangi keluarga Fuad yang begitu mesra dengannya. Sayang, tunggulah saat-saat kita disatukan…..Adlina melelapkan matanya dengan harapan mimpi indah akan menjelma dalam tidurnya.

Tepian Tasik Ini...

Melewati tepian ini,
Membuka seribu lembaran,
Pada tasik itu aku rentangkan,
Segulung ingatan aku huraikan...

Satu ketika,
Saat mentari menyinar petang,
Berlari-lari aku bersama mu,
Mengejar seribu bayang-bayang,
Yang hanya menanti masa untuk hilang.

Saat itu,
Segala nya telah pasti,
Namun hati ini menafi,
Bayangan itu akan pergi,
Meninggalkan berjuta memori.

Melewati tepian ini,
Tergambar senyum dan tawa,
Bagai tiada yang bakal menyesakkan jiwa,
Sehening hembusan angin petang,
Setenang tasik di permukaan,
Namun didasar penuh kelukaan,
Adakah yang memberi belas ikhsan?

Hari ni,
Di tepian ini aku soroti,
Kenangan indah mencengkam lagi,
Namun,
Tersentak aku,
Segalanya telah pergi,
Tak mungkin terukir kembali,
Sekadar ingatan di kala sepi....

-Taman Tasik Kelana Jaya dlm ingatan, 2004-

Wednesday, May 24, 2006

Bohong Sunat???

A'kum...

Salam di petang Rabu yang agak mendung. Lewat petang baru la ada masa nak tengok blog ni. Dari pagi ada kerja yang perlu disiapkan. Di saat2 akhir bekerja ni, masih ada yang perlu diuruskan. Tapi tadi boss axa terkejut tengok kedatangan axa ke ofis. Dia suruh duduk berehat kat umah je. Yer la.. jalan pun cam dah terhuyung hayang je. Sakit di sana sini. Dari pinggang ke bawah.. semua nya dah start sakit. Rasa bengkak je semua tempat. Cam ni la orang mengandung kan. Tengah hari plak, gi makan.. jumpa kakak2 ofis yang masing2 ada pengalaman bersalin. Sorang ke sorang citer pengalaman. Ada yang 4 jam sakit, 7 jam sakit. Alahai...menakutkan axa pulak. Mudah-mudahan axa kuat menghadapi semua ni. Tak apa.. demi baby ni.. axa akan cuba kuatkan semangat. Pastu hari ni plak, tengok gambar2 terbaru baby kak zila (Altamis Akhtar b. Zamil Fuat) dan baby Juhai (Ainin Natasya bt Abdul Kadir). Comel2 belaka. Cam mana la rupa baby axa nanti. Baby, tak sabar nak jumpa baby ibu la.. he..he. rindu kat baby.

Pagi tadi masa bersiap2 nak ke ofis, axa sempat dengar era. Biasalah, stesyen radio kegemaran axa. Topik hari ni bohong sunat. Hmmm.. terfikir axa, ada ke sebenarnya istilah bohong sunat ni. Rasanya orang melayu yang mencipta istilah bohong sunat ni. Bohong sunat ni maksud nya konon2 terpaksa berbohong untuk kebaikan la. Yer la tuh..kebaikan... kalau nak bohong tuh mana la ada baik kan.. bohong dan tipu sama je.. matlamat tidak menghalal kan cara...yang penting akan mendatang kan DOSA. He..he..he..

Ramai yang call Era.. citer macam2 jenis bohong sunat. Yang kelakar pun ada, yang menyayat hati pun ada. Ada sorang pompuan ni citer husband dia terpaksa menipu wife pertama sebab dah kawin senyap2 dengan dia. Ala2 cerekarama la plak. Ada yang berbohong sebab nak pinjam duit la. Tergelak jugak axa dengar mcm2 citer orang ni. Yer la, axa pun pernah gak buat bohong sunat ni. He..he..he..

Axa ingat lagi, masa ni axa belum kawin ngan ayah baby. Bertunang pun belum. Hari tuh hari jumaat petang. Axa bekerja di KL. Dr KL, axa terus ke UITM Shah Alam utk ambik adik. Dah jadi rutin setiap petang jumaat axa dan adik akan balik ke Kapar. Lepas ambik adik, axa teruskan perjalanan balik ke rumah. Hari pun dah senja. Dah masuk Marghrib. Malas pulak nak singgah mana2. Niat di hati memang nak solat kat rumah je. Masa tuh kalau tak silap dah kul 7.30 mlm. InsyaAllah, kalau tak ada aral dlm kul 8 leh sampai umah dah. Lepas je satu tol kat Lebuh raya shahpadu, dr jauh axa dah tengok jalan jem.. tak bergerak. Alamak! Kat situ memang trafik light dia slow sangat. Cam mana ni. Kalau ikut jalan tuh sure kul 8.30 baru sampai rumah. Axa terfikir satu jalan alternatif, tapi memang kena buat u turn yang menyalahi undang2 la. Axa pernah buat u-turn kat situ. Kadang2 selalu jugak tengok org buat u-turn. Cam ok je. Tanya adik.. dia kata boleh la.. takut lambat sampai rumah. Apa lagi.. axa terus ke tempat u-turn tu. Hmmm tengah seronok u-turn.. rupanya ada yang dah menunggu di sebalik pokok. Adoiiiiii... pakcik polis ni pandai menyorok la. Ada satu keta depan axa pun kena. Berpeluh axa dibuatnya. Kena la berhenti tepi jalan. Pakcik polis tuh suruh tunggu jap. Dia nak saman ada keta ngan lori depan axa. Axa ni plak rasa tak sabar terus keluar dr keta. Dah siap keluarkan IC dan lesen memandu. Bukan apa, axa nak cepat.. nak kejar waktu marghrib. Adik pun ckp, bagi tahu je la yang kami nak cepat kejar marghrib. Tapi boleh terima ke alasan tuh. Axa terus pergi ke pakcik polis yang tengah saman keta depan axa. Pakcik tuh tanya, kenapa. Axa cakap la.. nak mintak cepat kan saman axa ni. Axa berpeluh2 mengadap pakcik polis tuh. Pastu, sorang lagi pakcik polis tanya, kenapa ni, sampai berpeluh2. Tiba2 axa dpt satu akal, axa terus ckp.. "sebenarnya saya tengah sakit perut ni.. memulas". Pakcik polis tu terkejut. Pakcik tuh kata patut la berpeluh.. rupanya tengah menahan. Alamak.. axa terpaksa menipu la. Pakcik tu terus tak jadi saman.. dia suruh axa balik terus. Tapi yang tak bestnya, pakcik lagi sorang tuh leh ckp.."patut la ada bau"... adoiii.. pakcik tuh tipu.. mana ada la... axa kan tipu je..tapi tak apa.. yang penting axa tak kena saman.. terus je drive balik rumah. Dan sempat la solat marghrib kat rumah.. he..he. kira bohong sunat la kan.... yer la.. nak balik solat.. bukan nak buat apa pun.. he..he.. he... pada pakcik polis dua org tuh.. sorry la.. nak buat cam mana.. tuh je idea yang ada.. tapi apa2 pun bohong still BERDOSA...


Wednesday, May 17, 2006

Panas dan Baran.....

A'kum...

Salam di pagi Rabu yang indah ini. Cuaca agak baik pagi ni. Jalan pun tak jam sangat. Cuma di Damasara tadi ada lori bawak batu bata terbalik. So memang sesak sungguh di situ. Nasib baik axa berada di jalan yang bertentangan.

Pagi2, bangun je tidur, memang dah jadi kebiasaan axa akan on radio. Selalunya ERA la yang menjadi pilihan. Nak mewujudkan mood bersemangat pagi2. Kalau senyap je, rasa cam mengantuk pulak. Pagi ini topik pagi di ERA, membincangkan tentang panas baran. Tersenyum axa dengar topik ni. Axa teringat pada seorang sahabat yang axa kenali, yang agak tinggi jugak la sifat panas barannya. Kalau marah...mak aiiii.. merah2 muka, telinga.. suara pun guna nada tinggi.. sakit jugak telinga kalau dengar.. kadang2 sian tengok dia.. sampai cam nak sakit jantung.... tu time dia panas baran la... he..he..he... memang ngeri...

Lately ni banyak kes yang disebabkan oleh panas baran sebenarnya. Cthnya, kes bunuh, kes gaduh dan yang paling baru kes perceraian Abby Abadi dan Norman Hakim. Axa sempat menonton melodi ahad lepas. Nangis2 pasangan tu, sebab menyesal atas sifat marah dan panas baran masing2 sampai menyebabkan mereka bercerai. Bila dah reda, baru tersedar, apa yang dibuat adalah sesuatu yang merugikan. Hmmm macam mana ye, nak mengawal panas baran tu. Axa juga kadang2 kurang mempunyai tahap kesabaran. Tapi setakat marah je la..tak ada lah sampai buat something2 yang lebih buruk. Ada setengah2 orang, bila marah, macam2 yang akan di buat. Tendang2, pukul2..itu lagi bahaya kan. Apatah lagi bila melibatkan pasangan yang akhirnya menjadi mangsa. Mula la pukul pasangan atau anak2. Then lepas dan reda pandai pulak mintak maaf. Dan lebam2 baru la tahu apa yang dibuat tuh salah. Ishh ishh ishh...

Tengok la betapa sifat panas baran ni banyak memberi keburukan. Axa sempat berbual dengan ayah baby semasa dalam perjalanan ke ofis. Bagi axa permasalahan akan berlaku bila ada satu pihak tidak berpuas hati dengan satu lagi pihak yang akhirnya berakhirnya berakhir dengan pergaduhan. Biasalah..yang tak puas hati tuh la yang akan mula marah2 atau jadi panas baran. Jadi bagi axa, dalam menyelesaikan situasi yang tegang macam ni, pihak satu lagi tuh sepatutnya tahu handle situasi tersebut. Jangan la sama2 naik angin, jangan la sama2 pun nak panas baran. Api di lawan kan dengan api, sampai bila pun susah nak padam kan. Apa yang axa tengok kebanyakkannya, bila satu pihak mengamuk atau marah, pihak satu lagi pun akan mengamuk jugak, mungkin rasa tercabar kot. Tapi itu bukan jalan penyelesaiannya. Cth dalam rumah tangga, bila isteri marah atau tidak puas hati dengan satu2 perkara, suami seharusnya mengambil jalan untuk menyelesaikan dengan baik, dengan tenang dan cuba berdiplomasi, bukan dengan sama2 tak puas hati. Hmmm ckp senang kan, tapi bila time gaduh, leh ingat ke nak diplomasi ke tak...he..he.he.

Ayah baby pula ada pendapat sendiri. Baginya, jika satu masalah wujud..seharusnya tidak patut dimulakan dengan mengamuk atau marah. Pendekatan yang terbaik menurut ayah baby ialah dengan menegur secara baik... dan gunakan psikologi agar pihak yang satu lagi mampu berfikir dan dengan sendiri rasa bersalah atas kesalahannya. Bukan dengan marah2. Cthnya, jika isteri tidak berpuas hati, just terus terang dengan baik dan biarkan suami berfikir tentang kesalahannya. Ala2 isteri yang sabar la. Tapi kadang2 mampu ke kita bersabar bila hati tengah sakit?? He..he..he. payah juga. Hmm pendekatan ini agak baik, untuk mengurangkan pergaduhan besar atau mengelakkan tercetusnya sifat panas baran, tetapi kena tengok keadaan juga.. kalau dapat pasangan yang tak reti2 bahasa atau tak faham2.. jenuh juga... kita ni yer2 la sabar, cakap baik2, tapi yang pihak satu lagi tuh ambik kesempatan.. langsung tak ada rasa bersalah..cam mana??? Sampai bila2 la terpaksa makan hati...lagi parahkan...

Kesimpulannya, untuk mengelakkan pergaduhan..untuk mengelak dari timbul nya sifat panas baran.. yang terbaik ialah berfikir sebelum melakukan sesuatu. Jika kita telah sedia maklum apa yang akan kita lakukan bakal menimbulkan kemarahan pasangan atau orang lain.. jangan la gatal2 nak buat jugak. Cari nahas namanya tuh.He..he..he. Tapi yer la.. kita ni manusia, tak lepas dari kesilapan. Kadang2 tak sedar apa yang kita buat tuh salah di mata orang lain. Tepuk dada.. tanya la diri kita sendiri.

Untuk kawan2 axa yang panas baran tuh.. harap2 semakin dewasa..kita akan semakin matang dan mampu berfikir untuk menjadi manusia yang lebih baik...

Monday, May 15, 2006

Perginya seorang sahabat...Al-Fatihah

A'kum..

Salam di pagi isnin yang mendung. Hujan renyai2 mengiringi perjalanan axa ke ofis pagi ini. Seawal 7.30 pagi axa telah pun sampai. Hari ni adik yang menghantar. Mak, ayah dan adik tidur di rumah axa semalam. Yer la..sempena hari ibu. Axa masak nasi ayam special untuk mak dan tak lupa juga sehelai tudung untuk mak. Terima kasih mak.. Selamat Hari Ibu.

Sabtu lepas, axa telah dikejutkan dengan satu sms yang berbunyi, " A'kum, nak bagi tahu sahabat kita Dina telah kembali ke rahmatullah jam 4.35 tadi. Alfatihah". Ya Allah.. axa punyer la terkejut. Rasa nak pitam je masa tuh. Susah nak percaya. Walaupun seminggu sebelum itu, axa menerima sms yang menyatakan sahabat axa itu sedang sakit, axa tidak menyangka ianya akan membawa maut.


Pada usia 29 tahun, Nor Khadina Binti Noor Adzmy telah menghembuskan nafasnya yang terakhir akibat menderita penyakit Sistemik Lupus Erythematosus ( SLE / LUPUS ). Hmm pertama kali dalam hidup axa mendengar tentang penyakit ini minggu lepas. Sebelum ini, pada tahun lepas, apa yang axa tahu arwah hanya menghadapi masalah usus dan terpaksa tinggal di hospital agak lama. Rupa2 nya penyakit ini yang menyerangnya dari dalam. Axa ada bertanya dengan kakak ipar yang kebetulan seorang doktor. Penyakit ini tidak terlalu merbahaya jika ia hanya melibatkan permukaan kulit. Namun ia mampu membawa maut jika ia melibatkan organ dalaman. Penyakit ini pula kebanyakan nya dihidapi oleh kaum wanita dan setakat ini masih belum ada ubat atau penawar yang tertentu.



Allahyarhamah Nor Khadina merupakan sahabat baik axa di UITM. Sama2 menyambung pengajian di peringkat Master. Sejak dari semester pertama, kami sekelas dan sentiasa bersama dalam satu kumpulan. Kegigihan nya berulang alik dari Kuantan ke Shah Alam setiap hujung minggu membuahkan hasil apabila sepatutnya Dina dianugerahkan Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat pada majlis Konvokesyen UITM pada 25 Mei 2006 ini. Arwah memang baik dan lemah lembut orangnya. Telah mendirikan rumah tangga pada awal Ogos 2005 yang lepas. Suaminya Shadil, juga merupakan sahabat axa, boleh dikatakan ex-Officemate axa. Axa dan Shadil sama2 menyambung pengajian di UITM dan di situ la, Shadil dan Dina bertemu. Masih axa teringat perkenalan mereka melalui axa dan seorang lagi sahabat, Farah. Kami yang suka menggosipkan mereka dan alhamdulillah berakhir ke jinjang pelamin.

Namun begitu, jodoh yang tetapkan tidak lama. Axa turut merasa sedih, dengan pemergian Dina dan sayu apabila teringat pada Shadil. Dugaan yang berat buatnya kali ini. Axa masih belum berkesempatan untuk berbual dengan Shadil, biarlah hatinya tenang dan semangat nya pulih terlebih dahulu. Penginsafan pada kita semua, ajal dan maut tidak mengenal usia. Buat Shadil, mudah-mudahan dugaan Allah ini dihadapi dengan penuh redha, ada hikmah disebaliknya. Buat arwah Dina, mudah-mudahan rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. InsyaAllah... Al-Fatihah....

Fakta Penyakit SLE

Apa itu Lupus

Lupus adalah radang teruk (inflamasi kronik) yang disebabkan olehpenyakit autoimun di mana sistem pertahanan badan yang tidak normalmelawan tisu badan sendiri. Antara tisu badan dan organ yang bolehterlibat adalah seperti kulit, jantung, paru-paru, buah pinggang,sendi, dan sistem saraf. Jika tisu kulit sahaja yang terlibat, ialebih dikenali sebagai diskoid lupus. Jika organ-organ dalaman turutterlibat, ia dikenali sebagai Sistemik Lupus Erythematosus (SLE).

Apakah Penyebab Sistemik Lupus Erythematosus (SLE)

Sehingga kini faktor yang merangsangkan sistem pertahanan diri untukmenjadi tidak normal belum diketahui. Ada kemungkinan faktorgenetik, kuman virus, sinaran ultraviolet, dan ubat-ubatan tertentumemainkan peranan.Penyakit Sistemik Lupus Erythematosus (SLE) ini lebih kerap ditemuidi kalangan kaum wanita. Ini membayangkan bahawa hormon yangterdapat pada wanita memainkan peranan besar, walaubagaimanapunperkaitan antara Sistemik Lupus Erythematosus (SLE) dan hormonwanita masih dalam kajian.Penyakit Sistemik Lupus Erythematosus (SLE) bukanlah suatu penyakitketurunan. Walaubagaimanapun, mewarisi gabungan gen tertentu meningkatkan lagi risiko seseorang itu mengidap penyakit SistemikLupus Erythematosus (SLE).

Gejala-gejala Lupus.


Diskoid Lupus
Ruam di muka, kepala dan anggota-anggota lain badan.Diskoid Lupus kelihatan merah dan timbul di pinggiran ruam. Ia biasanya tidak sakit atau gatal.
Ruam ini pulih dengan meninggalkan parut.
Diskoid Lupus tidak serious dan jarang sekali melarat melibatkan orgon-organ lain.
Sistemik Lupus Erythematosus ( SLE / LUPUS )
Kemerahan di muka terutamanya di pipi dan batang hidung, yang berbentuk rama-rama.
Ulser di dalam mulut
Keguguran rambut
Demam berpanjangan.
Sensitif terhadap pancaran matahari. Pesakit mudah mengalami kemerahan atau ruam di bahagian badan yang terdedah kepada pancaran matahari seperti muka dan tangan.
Radang (inflamasi) organ dalaman akan menimbulkan bermacam-macam tanda bergantung kepada organ yang terlibat. Contohnya, inflamasi otak boleh menyebabkan pesakit berasa sakit kepala, sawan, atau berkelakuan aneh seperti pesakit mental.
Penglibatan buah pinggang pula boleh menyebabkan bengkak kaki dan pengeluaran protin yang berlebihan dalam air kencing. Jika berlarutan tanpa dirawat, Sistemik Lupus Erythematosus boleh mengakibatkan

kegagalan buah pinggang
Tidak semestinya semua gejala-gejala ini berlaku di kalangan pesakit-pesakit Sistemik Lupus Erythematosus (SLE) pada satu-satu masa. Oleh itu penampilan penyakit ini boleh berbeza antara satu pesakit dengan yang lain bergantung kepada gabungan (kombinasi) organ dan gejala-gejala yang terlibat.
Rawatan

Rawatan-rawatan yang ada sekarang bertujuan untuk mengawal gejala-gejala dan mengurangkan komplikasi yang disebabkan oleh penglibatan organ-organ dalaman.
Pesakit Sistemik Lupus Erythematosus (SLE) yang mengalami gejala-gejala ringan atau tidak serious tidak perlu ubat-ubatan tetapi memandai dengan ubat anti keradangan / (anti-inflamasi) untuk jangkamasa singkat sahaja. Jika organ-organ dalaman yang terlibat, ubat-ubatan seperti steroid atau gabungan bersama ubat immunosuppression adalah diperlukan.


Sistemik Lupus Erythematosus (SLE) dan wanita

Memandangkan Sistemik Lupus Erythematosus (SLE) lazim ditemui di kalangan wanita, masalah kehamilan selalu dipersoalkan. Antara masalah-masalah yang boleh dihadapi ialah :-
1. Risiko keguguran kandungan. - Terutama di peringkat awal atau akhir mengandung.

2. Komplikasi lain semasa mengandung. - Penyakit lupus menjadi aktif semula semasa mengandung.
- Risiko mengidap darah tinggi, kencing manis dan komplikasi buah pinggang adalah tinggi.
Oleh itu pesakit-pesakit Sistemik Lupus Erythematosus (SLE) wanita adalah dinasihatkan untuk berbincang dengan doktor yang merawat sebelum mengandung. Pesakit-pesakit Sistemik Lupus Erythematosus (SLE) yang mengandung pula perlu membuat pemeriksaan antenatal yang kerap dan digalakkan supaya melahirkan anak di hospital. Bagaimana pesakit Sistemik Lupus Erythematosus (SLE) boleh mengelak penyakit ini menjadi aktif.
Mengenal gejala-gejala Sistemik Lupus Erythematosus (SLE) yang menandakan penyakit menjadi aktif semula supaya rawatan dapat diubahsuaikan diperingkat awal sebelum ia menjadi lebih teruk.
Mengelakkan banyak terdedah kepada pancaran matahari. Ini boleh dilakukan dengan memakai baju berlengan panjang, berpayung, bertopi, dan juga memakai sunscreen.
Mengelakkan daripada putus ubat terutamanya steroida tanpa nasihat doktor yang merawat.
Perlu mengikuti rawatan lanjutan di klinik-klinik yang mengubati pesakit-pesakit SLE.

Sistemik Lupus Erythematosus (SLE) adalah suatu penyakit yang boleh membabitkan pelbagai anggota badan, dan berpotensi menyebabkan penyakit yang serious. Walaubagaimanapun, kebanyakan pesakit Sistemik Lupus Erythematosus (SLE) boleh mengecapi kehidupan normal seperti orang lain. Kunci kejayaan ini bergantung kepada interaksi pesakit dan doktor yang merawat dan pemahaman terhadap penyakit Sistemik Lupus Erythematosus (SLE).

Monday, May 08, 2006

Masih marah kah dia padaku..

Dihujung petang yang memanggil senja,
terfikir aku,
masih marahkah dia padaku,
lantaran baginya keterlanjuran ku satu dosa,
yang hanya ada sedikit masa untuk diampunkan.

Masih marahkah dia padaku,
yang kadang-kadang lupa pada batasan,
berteman biar tahu garis sempadan.

Masih marahkah dia padaku,
gurau senda yang kadang-kadang dititipkan,
mengguris hati dan perasaan,
maaf kan aku teman,
aku sendiri kealpaan.

Masih marahkah dia padaku,
tatkala salah tidak bersahut,
tatkala senyum tidak bersambut.

Kata seorang teman,
dalam kita berhati-hati,
ada hati yang disakiti,
dalam kite berjaga-jaga,
ada hati yang terasa,
Masih marahkah dia padaku?

5.53 petang. Kelana Jaya


Rinduku pada dirimu (2)

A'kum..

Posting ke dua axa hari ni. Seronok plak nak bercerita tentang kawan2 axa yang best2 ni. Citer tentang Achim dah. So nak citer tentang Nur. Oh ya, sebelum tuh nak bagi tahu nama2 kawan axa ni.We all 5 orang terdiri daripada axa, Nur, Achim, Nora dan Zai. Semua ambik course IT.

Ok. Bercerita tentang Nur. Gadis pantai timur yang memang baik hati. Lemah lembut, sopan santun dan penuh dengan sifat kewanitaan. Nur axa kenal sejak tahun pertama di kamsis Aminuddin Baki. Tinggal satu blok tapi berlainan bilik. Tapi axa jadi rapat dengan dia sejak masuk tahun 2. Jabatan kami pun sama, so selalu gi kelas sama2. Naik motor pun saing2 sekali. Nur pun naik motor Honda c70 tapi motor baru la. No plat dia DQ 24. Cantik kan no tuh. Kalau Achim selalu tumpang axa, Nur pulak pemboncengnya ialah Zai. Nanti axa citer tentang Zai plak.

Seperti yang axa citer tadi, Nur ni memang baik orang nya. Dengan mak ayah axa pun dia pandai ambik hati. Yang best nya, dia ni tak ada loghat kelantan langsung dalam perbualan dengan kawan2. Kecuali la dia dah jumpa orang pantai timur jugak. Baru la dialek dia bertukar. Tapi menurut Nur, dia prefer kawan dengan orang dari negeri lain. Berkembang la sikit kan. Masa tahun 2, axa ngan Nur memang rapat betul. Dia ni banyak mempengaruhi axa dengan cara pemakaian yang lebih baik untuk seorang muslimah. Axa ni memang agak ganas sikit. Pemakaian axa lebih cenderung kepada pakaian lelaki. Jeans,t-shirt ..tu je la yang axa tahu. Dan semuanya dari jenama pakaian lelaki. Kasut atau sandal pun tak pernahnya ada yang fesyen pompuan, semuanya kasut sukan, atau sandal lelaki. Entah..axa rasa selesa begitu. Dari Nur axa banyak belajar untuk lebih bersopan dalam pemakaian. Kagum dengan Nur, begitu lemah lembut dan sopan santun. Di tahun ke dua juga, kami berdua sama-sama membina nama di kamsis. Nur semakin terkenal di Kamsis manakala axa pula semakin sibuk dengan aktiviti debat, pidato dan pantun. Axa masih ingat lagi, impian Nur sebagai seorg AJK tertinggi Minggu Jalinan Mesra kamsis. Nur nak buat yang terbaik dan dia nak axa tengok kemampuan dia mentadbir majlis yg berlangsung 3 hari tersebut. Dia nak kami sama-sama meraikan kejayaannya nanti kerana majlis itu bakal menjadi majlis yang terhebat di kamsis. Tapi dalam masa yang sama juga axa dikejutkan dengan berita pemilihan axa mewakili universiti dalam pesta pantun peringkat kebangsaan di USM, Pulau Pinang. Dan tarikhnya pula sama dengan majlis yang diusahakan oleh Nur. Sedihnya masa tuh. Nur pun sedih sebab apa yang kami rancang untuk majlis tuh semua terpaksa ditukar. Axa pun semakin sibuk dengan latihan pantun di unit kebudayaan.

Pada pagi Jumaat sebelum axa bertolak ke Pulau Pinang, di saat Nur sibuk dengan persiapan Majlis perasmian pada sebelah malamnya, Nur menghulurkan sekeping surat untuk axa. Jap yer..axa buka surat yang dah berusia 8 tahun ni. Masih elok dalam simpanan axa. Surat tu bertarikh 10/12/98.

"assalamualaikum

As, kite tak tahu dr mana nak mulakan. Tapi kite rasa baik diawalkan dengan seronok jauh berjalan? he..he..he..

Ok, gini.. sebagai sahabat karib, kita amatlah mengharapkan yang terbaik untuk kawan kite yang sorang ni. Pun begitu, jauh disudut hati, kite rasa sedih jugak sebab MJM yang kite dan rakan2 MJM corakkan tak dapat dilalui bersama As. Yer la..kite ni kan kaki jalan..

Kite faham, pertandingan pantun ni bagaikan mimpi jadi nyata pada As. Betul tak?.. Kite terkilan gak kerana kita dan zai tak ada kesempatan untuk makan di gerai sama2, rewang2 sekitar gerai sama2 dll..isk..isk...Tapi kite masih ingat, kite harus korban kan tu untuk impian kawan kite ni jadi kenyataan.

So, oleh kerana kite dahrasa terkilan, kite harapkan as bayarnya dengan lakukan yang terbaik di USM. Itu tak bermakna As patut capai juara (kalau menang tuh alhamdulillah) tapi yang paling penting ialah As tahu kemampuan dan tonjolkan yang terbaik. As kuat! As Kuat! Dalam kesibukan kite dengan MJM, kite sentiasa doakan As berjaya. Ingat..Usaha. Doa. Tawakkal. dah...jangan nangis.. kite jauh dr As ni, susah plak.. ok babai.. Ingat mak, ayah, Allah dan Kite..

I Love this Friendship,
Nur"

Hmm.. tu la kandungan sebenar surat Nur untuk axa. Axa baca masa dalam perjalanan ke USM. Memang mengalir air mata axa ni. Pada saat tu axa dapat rasa, axa ada kawan yang betul2 menyayangi dan mendoakan untuk axa dan akhirnya Alhamdulillah axa dan pasukan UKM berjaya menjadi Naib Johan Pesta Pantun peringkat kebangsaan tahun 1998. Kami menewaskan UTM di peringkat suku akhir dan UPM di peringkat separuh akhir. Namun tewas di tangan UNIMAS di peringkat akhir. Axa tahu, walau pun hanya tempat kedua, Nur amat bangga dengan axa. Kejayaan axa disambut meriah di kamsis. Menurut Nur, majlis yang dianjurkan juga berjalan dengan lancar dan meriah....

Nur kini juga seorang guru di sebuah sekolah rendah di Seri Petaling. Berkahwin juga pada usia 24 tahun dan kini mempunyai seorang cahaya mata. Seorang wanita yang benar2 mementingkan sahsiah dan maruah diri. Tidak pernah terlibat dengan mana2 lelaki sepanjang pengajian di UKM dan bersungguh2 dalam pelajaran. Nur memang best. Lama tak jumpa dia ni walaupun tak jauh dah. Untuk Nur jugak, mudah-mudahan berjaya dalam apa juga yang diceburi. Dia ni ada talent jadi guru besar atau pengetua..he..he..he..


bersambung...

Rindu ku pada dirimu (1)

A'kum..

Salam ceria di pagi Isnin ini. Hari ni axa sampai awal di ofis.Pukul 8.25 dah sampai. Terus on komputer, ada kerja menterjemah artikel untuk akhbar yang harus axa selesaikan dengan segera. Sekarang ni bukan tugas web master je yang axa kena buat, tapi juga kerja-kerja menulis dan menterjemah aritikel untuk universiti. Ok la tuh, dari dulu axa memang minat menulis, cuma tak ada peluang. InsyaAllah, jika ada kelapangan, axa ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang penulisan.

Ok la, sebenarnya tak ada apa yang menarik untuk axa tulis tapi bila teringatkan conversation axa dengan seorang teman seuniversiti yang call axa semalam, axa terfikir untuk menulis tentang kawan-kawan. Perbualan kami lebih kepada bertanya khabar kawan-kawan lama. Kami berlima, bersahabat baik. Alhamudulillah semua telah pun berumah tangga dan sedang membina keluarga. Apa yang axa nak cerita ialah kisah kawan-kawan axa ni. Kisah cinta sampailah sekarang.

Kawan axa yang call semalam, kami panggil dengan nama Achim. Dah ada anak dua dah. Kerjaya..seorang guru di sebuah sekolah menengah. Ambil KPLI selepas konvo. Nak kata minat sangat mengajar tak jugak minah sorang ni, tapi dah rezeki dia kat situ. Pergi interview kerja asyik tak dapat je katanya. Achim, axa kenal sejak dari matrikulasi UKM - Kolej Negeri di negeri sembilan. Rapat dengan axa. Adik beradik pun tak ramai. Comel dan cerah orang nya, cuma agak gebu sikit..ala2 axa jer..boleh kongsi baju je selalu. Bilik pun berhadapan je masa kat kolej tuh. Dia ni orang KL, tapi mak ayah dia asal Melaka, cuma dah duduk kat KL lama. So kalau balik kampung, balik KL je la. Achim ni seorang pecinta yang setia, ala2 lagu KAFI. Dulu2 masa zaman sekolah dia, adalah jugak dia citer cinta2 monyet dia, tapi sejak couple dengan MY, Achim ni memang la setia giler. Diaorg start couple masa matriks lagi.Kami semua sekelas. Achim ni comel, MY pun segak orangnya. Hmmmm kalau bab2 dating ni...memang dioarg berdualah famous amos.. Dulu mana ada kenderaan. So tiap2 weekend Achim ngan MY akan gi tengok wayang. Cakap je la citer apa. Semua diaorg tengok. Keratan tiket wayang tuh..melambak2. Tapi nasib baik pelajaran tak diabaikan. Dua2 alhamdulillah lulus dengan cemerlang untuk buat Ijazah di UKM. Axa dan achim dapat course yang sama(IT) dan juga Kamsis yang sama. MY plak dapat couse Insurans. Kamsis pun jauh giler. Sejak dari first year, axa dah bawa motosikal sendiri, jadi Achim ni la pembonceng yang setia. Ala..motosikal lama ayah axa jer, Honda C70. Dah uzur jugak la motor tuh. Ingat lagi no plat..BBY 7420. Selalu kena makan asap motor baru bebudak lain. Tak apa la. Di UKM banyak sangat bukit2 yang kena didaki. Dan peristiwa yang axa tak boleh lupa dengan achim ni kan.. adalah satu hari tuh, habis kelas, kami nak balik ke kamsis. Terpaksa lalu satu bukit yang tak lah tinggi sangat, tapi bukit tuh betul2 depan kamsis yang menempatkan pelajar lelaki yang rata-ratanya budak2 Palapes (ROTU). Axa ngan achim ni kontrol ayu je la naik motor kalau lalu situ. Tapi hari tuh, entah cam mana, maybe kami ni terlebih berat, tengah2 bukit tuh, motor tuh berhenti..sebab tak larat nak daki bukit tuh. Adei... cam mana ni..press minyak pun tak nak naik jugak motor tu. Hmmm... nakbuat cam mana. Nak tak nak dua2 kena turun dari motor dan dua2 la menolak motor tu sampai atas bukit. Malu giler. Toleh kanan, nampak mamat2 ROTU ada yang terintai2 kat tingkap. Pastu adalah dengar bunyi-bunyian yang kureng menyenangkan..... Sampai atas bukit baru lah kami naik semula motor tuh. He..he..he..

Seperti yang axa citer tadi, achim memang setia. Lepas tamat belajar, dia sambung KPLI di Kedah dan terus ikat tali pertunangan dengan MY. Dia la kawan pertama yang bertunang. Pastu dia terpaksa posting ke Sarawak. Tiga bulan dia Sarawak, Achim balik ke Semenanjung masa cuti semester dan bernikah dengan MY untuk dapat posting kat semenanjung. Dalam usia 24 tahun Achim dah bergelar isteri. Mengalir jugak air mata axa dan kawan-kawan yang lain masa dia nikah tuh. Lepas tuh dia still di Sarawak dan kenduri bersanding dibuat 3 bulan selepas itu. Yer la tunggu cuti sekolah jugak. Alhamdulillah Achim kini ada dua org puteri dan tinggal di Seri Kembangan. MY pulak bekerja di Bangi. Mudah-mudahan Achim dan MY kekal hingga ke akhir hayat...

Bersambung

Thursday, May 04, 2006

Apa la nak jadi...


A'kum..
Salam di pagi Khamis..Mengantuk sungguh axa pagi ni. Mana tak nya..malam tadi tidur hampir kul 3. Jangan ditanya kenapa, sebab sendiri yang cari pasal. Saper suruh gi tengok wayang mid night. He..he..he sekali sekali..lama tak tengok mid night dengan ayah baby. Citer apa? Citer M:I 3. Hensemnya si Tom Cruise tuh. Best citer tuh. Tak boring langsung. Baby ni pun gerak2 masa tengok citer tuh. Seronok agaknya kan baby....
Hari ni axa bukan nak citer pasal movie yang axa tengok malam tadi, tapi pasal berita yang axa baca sejak semalam. Hmmm.. naluri seorang ibu kot yang menyebabkan axa begitu sensitif dengan berita ni. Dalam 2 minggu ni dah ada dua kes buang bayi yang dilaporkan. Minggu lepas, seorang bayi ditemui di dalam tong sampah besar. Nyaris mati di angkut oleh lori sampah. Dan semalam, seorang bayi lelaki yang sihat ditemui di sebuah warung tinggal di Machang Kelantan oleh seorang lelaki yang baru je balik dari surau lepas terdengar tangisan bayi tuh. Tengok gambar atas tuh. Kesiannya baby tuh...Hari ni baby tuh dah diberikan nama Muhamad Amirullah dan diserahkan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ada orang kat area Machang tuh nampak, subuh tuh ada pompuan dan lelaki bawak stroller berjalan2 kat situ dan diaorg ni la yang dipercayai meninggal kan baby tuh. Apa punya orang la ni....
Sedih axa tengok baby tuh. Baby yang sempurna sifatnya, sihat..boleh dibuang dan ditinggalkan macam tuh jer. Macam sampah je boleh senang-senang ditinggalkan macam tuh aja. Pelik la. Walaupun baby yang ditinggalkan tuh mungkin tak ada ayah yang sah, tapi sekurang-kurangnya pompuan yang lahirkan baby tuh tak ada perasaan dah ker? Mengandung 9 bulan, tak ada perasaan sayang ke pada baby tuh? Kenapa la boleh jadi macam ni kan. Binatang pun tahu jaga anak2 lepas je beranak. Manusia yang dikurniakan akal ni sewenang-wenang je buat benda tak elok macam ni. Dalam dunia ni, ramai yang menginginkan cahaya mata, tapi tak dapat, tak ada rezeki lagi.Yang dah dapat macam ni la pulak perangai nya.
Axa terfikir, apalah nasib baby2 yang ditinggalkan macam ni jer. Masa depannya. Baby2 ni mungkin akan dijaga dan dibesarkan dengan baik di rumah-rumah kebajikan atau anak yatim, atau yang lebih bernasib baik akan diterima menjadi anak angkat untuk sesebuah keluarga. Tetapi, apakah perasaan mereka, jika satu hari nanti, ketika mereka sedang membesar, mereka terpaksa menerima hakikat yang mereka sebenarnya ditinggalkan atau dibuang oleh ibu mereka sendiri di tong-tong sampah, di warung tinggal atau di tepi2 jalan. Atas dasar apa? Semua ini pasti akan mengganggu dan menjadi persoalan dalam hidup mereka. Yang akan menjadikannya lebih rumit apabila terdapat sesetengah lapisan masyarakat yang memandang serong dan negatif terhadap mereka. Yang suka bercakap-cakap, yang suka menyalahkan seolah-olah mereka ini tidak layak hidup bersama orang-orang yang lebih bertuah nasibnya.
Jiran axa di kampung juga mengambil anak angkat berikutan tidak mampu menimang cahaya mata. Baby tu diambil di hospital selepas ditinggalkan oleh ibunya sejurus selepas dilahirkan. Tanpa mengenali siapa ibu atau bapa kandung baby itu, jiran axa membesarkan baby tu penuh dengan kasih sayang. Hari ni anak kecil tuh dah pun meningkat remaja, dah masuk 14 tahun. Tetapi sampai hari ni, dia masih tidak mengetahui asal usulnya. Menurut jiran axa, dia tidak bercadang memberi tahu hal sebenar sehinggalah anak angkatnya itu akan berkahwin kelak kerana dia tidak mahu anak angkatnya membesar dengan penuh kekesalan. Entahla..setiap orang ada pendapat sendiri. Tapi memang kesian kan, bila terpaksa menempuh situasi macam ni. Mudah-mudahan.. jiran axa ni dapat menempuh dugaan ini dengan sebaiknya. Yer la, sebagai ibu bapa angkat, dia telah pun mendapat pahala yang besar kerana memelihara seorang anak yang boleh dianggap seperti anak yatim.
Gejala buang bayi ni memang dah lama berlaku kat dunia ni kan. Tak tahu la naper, mungkin dah tiada pegangan agama kot. Perikemanusiaan pun dah hilang. Yang tinggal hanya nafsu binatang! Eeee marah lak axa rasa. Sian kat baby2 ni. Baby kat dalam perut axa ni pun sure sian kat kawan2 dia yang kena buang tu kan baby.. sedih tengok nasib diaorg. Mudah-mudahan baby axa ni akan jadi manusia yang baik dan tahu membezakan yang baik dan yang buruk.. insyaAllah.....



Wednesday, May 03, 2006

Cerpen - Kembali (Part 3)

Bab 3

“Betul ke you sayangkan I?” tanya Adlina ketika Fuad mengalungkan seutas rantai emas putih sempena hari jadi Adlina. Fuad mengangguk
“Kenapa you tanya? You tak percaya?” tanya Fuad pula. Adlina tersenyum.
“Saje tanya tak boleh?” Adlina mengerling Fuad.
“Hm…. Ok.” Balas Fuad ringkas.
“Tapi I bukan orang pertama yang you cintai kan” Adlina. cuba menduga. “You pernah bercinta kan.” Sambung Adlina.
Fuad terdiam seketika. Fikirannya terus mengingati Mimi. Rakan sepersekolahannya yang pernah disayanginya.
“Itu kisah lama I” jawab Fuad.
“You tak pernah cerita pada I kan.” Balas Adlina.
“I tak mahu mengingati kisah silam I. Lagi pun ianya dah lama berlalu. Macam cinta monyet. Waktu zaman persekolahan. Lepas tamat sekolah kami dah tak berhubungan. I ke Amerika dan dia di sini. Entah – entah dah kahwin dan beranak pinak agaknya,” Fuad menerangkan dengan jelas. Adlina hanya tersenyum. Dia tidak pernah berasa cemburu dengan kisah silam Fuad. Sewaktu mereka mula- mula bercinta Fuad pernah menceritakan kisahnya. Dan begitu juga Adlina. Namun apa yang membezakan Fuad dan Adlina, Adlina tidak pernah bercinta dan Fuadlah lelaki pertana yang dicintainya yang berjaya mencuri hatinya.

Fuad duduk bersendirian di dalam biliknya selepas makan malam bersama keluarganya. Dia senang untuk tinggal bersama keluarganya memandangkan dia anak sulung dan hanya mempunyai dua orang adik perempuan. Ayahnya seorang Professor bersara kini menceburkan diri dalam dunia korporat dan ibunya menjadi surirumah sepenuh masa bagi memastikan kehidupannya sekeluarga bahagia. Ketika ayahnya berkhidmat sebagai seorang pensyarah, keluarganya sering berpindah randah. Hampir setiap negeri telah mereka bermukim. Sehinggalah ayahnya ditugaskan ke sebuah Universiti di Amerika. Dan kerana perpindahan keluarganya itulah dia terpaksa berpisah dengan Mimi.
Ingatan Fuad terus kepada Mimi. Seorang gadis yang begitu diminatinya sejak dia melangkah masuk ke sekolah barunya itu. Dan ketika itu dia dalam tingkatan empat. Ternyata cintaanya terhadap Mimi berbalas. Mimi juga menaruh hati. Walaupun dalam usia yang begitu muda, mereka tidak pernah mengabaikan pelajaran. Memandangkan Fuad datang dari keluarga yang agak berada, Fuad selalu membantu Mimi. Membelikan buku rujukan atau apa-apa pun keperluan Mimi. Sehinggalah keputusan SPM diumumkan. Mereka sama-sama mendapat keputusan yang baik dan merancang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti yang sama. Namun begitu, Fuad terpaksa memungkiri janjinya kerana ayah dan keluarganya terpaksa ke Amerika dan akhirnya dia juga turut menyambung pelajaran di sana. Bukan dia tidak pernah mengutus surat pada Mimi namun suratnya tidak berbalas. Dan sejak itu, Fuad putus asa dan hanya menumpukan perhatiannya pada pelajarannya. Ahh….. dia cuba membuang kenangan itu dari kamus hidupnya. Sayangnya terhadap Mimi tidak pernah padam. Cuma kasih yang disemai oleh Adlina seakan memberikan sinar baru dalam kehidupannya.