Monday, December 31, 2012

Tirai Penutup 2012

Assalamualaikum wbt.
 
Enam bulan blog saya ini sunyi sepi. Saya pun tak pasti kenapa lah susah sangat nak berblog sejak akhir-akhir ni. Mungkin kemudahan yang banyak di Facebook telah menyebabkan saya agak malas untuk menulis. Hmm.. Memang tak elok untuk saya kalau malas menulis ni. Tahun depan, hidup saya akan banyak dengan aktiviti menulis. Jadi tulis blog ni boleh lah dijadikan latihan. Harapnya lepas ni saya dengan azam baru nak menulis blog ini semula seaktif mungkin. Sekadar untuk menjadi tatapan dan rujukan saya kemudian hari. In sha Allah..
 
Pejam celik pejam celik, sekejap je 2012 nak melabuhkan tirainya. Hari ini 31 Disember 2012, saya masih bekerja. Banyak peristiwa pahit manis yang berlaku sepanjang 2012 ni. Sebagai penutup tahun 2012 ni, saya catatkan peristiwa dan kenangan yang penting untuk saya dan keluarga.
 
Jun 2012
Saya tercedera agak teruk di lutut sebelah kiri dalam perlawanan bola jaring Sukan Antara Kampus INTAN (SAKI) di Kemaman, Terengganu. Kali pertama saya injured macam tu. Sakitnya Allah saja lah yang mengetahuinya. Tisu dan ligemen bawah lutut kiri saya koyak. Nak bergerak pun susah. Terpaksa guna tongkat. Merasalah jadi Orang Kurang Upaya sekejap. 2 bulan saya tak boleh buat aktiviti lasak terutamanya bersukan. Solat pun kena duduk atas kerusi je. Memang mencabar lah. Tapi Alhamdulillah, kaki saya dah ok. Dah boleh berlari semula. Boleh kembali aktif
 
Ogos 2012
Alhamdulillah, syukur saya kepada Allah. Saya telah berjaya ditawarkan dengan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) 2013 untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD. HLP ni biasiswa penuh yang Kerajaan tawarkan pada penjawat awam yang menepati syarat. Seawal bulan April, saya submit proposal, kemudian di panggil interview pada bulan Julai dan 3 hari sebelum Aidilfitri keputusan diumumkan. Saya antara 100 orang penerima HLP PhD. Mengalir air mata saya, kurniaan Allah sangat besar untuk saya. So, In sha Allah, jika tiada apa-apa masalah, saya akan mula Cuti Belajar Bergaji Penuh pada pertengahan Februari 2013 selama 3-4 tahun di UKM Bangi.
 
 
September 2012
Salah satu impian saya pada tahun 2012 ialah untuk menawan puncak Kinabalu. Sejak bulan Mac saya telah pun menempah tiket dan tempat untuk mendaki bersama en. suami melalui group Pelopor. Sejak itu, saya dan suami mula menjalankan latihan sendiri seperti berjoging, bersukan untuk menambahkan stamina. Kecederaan saya pada bulan Jun pada awalnya agak memberi saya tekanan kerana saya bimbang jika kaki saya tidak sembuh, mana mungkin saya mampu mendaki puncak tertinggi di Asia tu. Tapi Alhamdulillah, berkat doa dan kecekalan, saya mampu meneruskan latihan sekitar bulan Ogos dan September. Saya dan suami mendaki tangga batu caves, mendaki Bukit Tabur dan saya sendiri setiap petang berjalan 3 pusingan mengelilingi INTAN. 14 September kami berlepas ke Kota Kinabalu dan pada tanggal 16 September 2012, pukul 8.10 pagi saya dan suami berjaya sampai ke puncak tertinggi Gunung Kinabalu. Cabaran dan dugaan sangat banyak sepanjang perjalanan mendaki. Tapi bila hati kita telah nekad, in sha Allah impian boleh jadi kenyataan. Sujud syukur saya di puncak gunung. Kuasa Allah amat besar. Saya dapat melihat keindahan alam yang pada saya sangat mengagumkan.
 
 
Oktober 2012
Bulan Oktober, bukan lah kenangan pahit tetapi ia menyaksikan satu impian yang belum dapat dicapai. Hajat untuk menghantar emak dan ayah ke Tanah Suci Mekah tidak tertunai. Nama man dan ayah belum tersenarai lagi walaupun buat rayuan. Saya tahu, semua ini ketentuan Allah, hanya Dia yang tahu apa yang tersirat. Saya tahu ada perasaan kecewa pada mak dan ayah. Tapi semua tu takkan mematahkan semangat kami untuk berusaha lagi tahun 2013. Semoga impian Mak dan Ayah ke Mekah akan terlaksana juga.
 
 
Disember 2012
Baru-baru ni sempena cuti sekolah, kami ke negeri Johor. Kebetulan company en suami buat family day di Le Grandeur, Senai. Jadi hari ke tiga kami ke Legoland. Ini impian Aszra lah. Sentiasa mengira hari nak ke Legoland. Alhamdulillah.. dapat juga dia sampai ke sana. Dari pukul 10 pagi sampai lah waktu nak tutup 8 malam baru kami keluar. 10 jam menghabiskan masa sepenuhnya di sana. Ada yang bertanya best ke tidak. Pendapat saya, kalau kita pandai manage masa kita, memang lah berbaloi dengan harganya. Legoland ni sesuai untuk keluarga yang ada anak-anak sekitar umur 3 tahun ke atas sebab hampir semua rides adalah untuk keluarga dan kanak-kanak hendaklah berketinggian 100 cm dan ke atas baru boleh main rides. Jadi Asyif, anak teruna saya memang tak ada masalah sebab dia dah lebih 100cm. Roller coaster pun dia naik. Tempatnya sangat terjaga, bersih.. dan banyak tempat berehat. Kalau ada yang tanya panas tak, mestilah panas. Negara kita kan beriklim Khatulistiwa. Hanya panas dan hujan. Jadi lebih baik panas sebab kalau hujan langsung tak boleh main apa-apa. Alhamdulillah, waktu kami pergi tu memang cuaca panas. Bagi yang tak boleh tolerate dengan kepanasan saya nasihatkan jangan pergi belah pagi ke tengah hari.. pergilah belah petang sebab cuaca cantik redup je. Tapi sekejap je lah dapat enjoy the rides kan. Kami anak beranak memang ok je. Bila penat berehat la. Anak-anak pun bila letih siap tertidur. Bila dah bangun, sambung semula. Senang cerita, memang best la di Legoland.
 

Tentang anak-anak pulak, Aszra dah pun menamatkan zaman tadika di Genius Aulad. Alhamdulillah, dia mendapat didikan yang baik di situ terutamanya pelajaran Agama. Mengaji pun Aszra dah start Al-Quran. Tahun depan dah darjah satu. Semakin bijak dan matang. Asyif, baby boy saya yang semakin membesar. Memang betul-betul membesar. Beratnya saja dah 23 kg dibanding dengan kakak nya yang baru 20kg. Tinggi pulak tu dia. Dah macam budak umur 4 tahun. Cuma ada kerisauan di hati saya. Asyif masih belum boleh bercakap sepenuhnya. Malah perkataan pun tak banyak yang boleh disebut. In sha Allah, tahun depan ni saya nak bawa dia rujuk ke pakar. Setakat ni dia nampak seperti kanak-kanak yang hyperactive. Tapi sangat bijak dan baik sangat. Tak bawak banyak masalah walaupun dia sangat aktif. Mendengar kata dan lembut hati anak bujang saya tu. Saya yakin, Asyif akan membesar bijak macam Aszra.
 
Tahun 2012 banyak mengajar saya tentang kehidupan supaya lebih matang. Setiap impian yang kita inginkan mampu menjadi kenyataan sekiranya kita berusaha dan berserah kepada Allah. Hanya dia yang mengetahui yang terbaik untuk kita. Selamat jalan tahun 2012. Kenangan 2012 akan sentiasa diingatan. Yang baik kita teruskan , yang buruk kita jadikan tauladan. In sha Allah...

Monday, May 28, 2012

6 tahun yang lalu

Hari ini, 28 Mei 2012, Aszra genap 6 tahun. Sekejap je masa berlalu. Pejam celik, pejam celik dah nak masuk sekolah rendah dah tahun depan. Urusan kemasukan darjah satu pun sudah saya uruskan. Saya bersyukur dengan kurniaan Allah. Aszra anak yang sangat baik, tidak banyak memberi masalah. Seawal usia 2 bulan sehingga dia berumur 2 tahun, saya tinggalkan dia untuk duduk dengan Wan dan Atok. Saya hanya berjumpa dengan dia 2 hari sekali. Itu antara perkara yang sangat saya terasa ralat. Saya tak dapat menyaksikan banyak perkembangan dia sepanjang dua tahun pertama. Banyak yang saya terlepas. Saat dia kali pertama meniarap.. Saat kali pertama dia bertatih. Semuanya tidak berlaku depan mata saya. Tapi Alhamdulillah.. sekarang saya dapat lihat semuanya. Malah, buat masa ni saya fokus kepada pembelajaran dia. Seawal umur 3 tahun, kami hantar dia ke Tumble Tots, lebih kepada play school supaya dia mula berkawan. Umur 4 tahun, dia ke kelas Music di Yamaha. 5 tahun, Aszra mula ke sekolah tadika di NURI. Dan sekarang umur 6 tahun Aszra bersekolah di Genius Aulad. Dari segi pembelajaran, Aszra tak banyak masalah. Dia dah mampu membaca bahasa Melayu, bahasa inggeris, jawi dan mengaji. Percakapan pula, alhamdulillah bahasa inggeris bukan satu masalah selain dari bahasa melayu yang dia sangat-sangat fasih. Kadang-kadang berbual dengan dia macam rasa berbual dengan orang dewasa.

Seperkara tentang Aszra ni, dia sangat percaya pada doa. Apa saja yang dia nak buat, dia akan berdoa. Sejak kecik saya dah tanamkan, Allah akan sentiasa bersama orang-orang yang berdoa. Jadi, dia yakin setiap kali dia berdoa, Allah akan ada dengan dia dan syaitan pun akan lari. Sekarang ni, setiap kali nak tidur, selain baca alfatihah, 3 kul dan doa tidur.. doa dia semakin panjang. Macam-macam dia berdoa.. doa jangan turunkan tsunami pun ada. Itu rutin dia setiap malam hingga ke hari ni. Saya bersyukur sangat....

Dari segi pemakaian, sekarang ni, Aszra dah tak nak pakai skirt dah. Kalau ada dress sampai ke lutut yang sedia ada, dia akan mintak nak pakai dengan seluar panjang. Baju-baju tshirt pun nak yang lengan panjang. Alhamdulillah.. bab ini saya tak pernah ajar, tapi dia sedar sendiri yang dia malu bila pakai skirt dan sekarang ni dia akan sebut yang dia nak tutup aurat. Sejuk hati saya bila dia sendiri ada kesedaran macam tu. Tudung pun dah selalu pakai.. walaupun ada masanya dia tak pakai. Saya takkan paksa tapi hanya akan beri galakan. Harapnya kesedaran tu kekal dalam diri dia.

Sejak umur dah nak masuk 6 tahun ni, memang la boleh diharap especially buat kerja-kerja rumah. Selalu bantu saya kemas rumah. Boleh juga beralah dengan adik dia si Asyif tu walaupun kadang-kadang bergaduh jugak. Sekarang ni kalau boleh dia tak nak adik lain sebab dia kata cukup la ada adik sorang dan dia tak nak sayang adik yang lain. Hmmm... macam mana lak ni. Ibu ayah dia nak ada baby lagi..ehhehehe.

Buat Aszra... Selamat Ulang Tahun kelahiran yang ke 6. Semoga Aszra sentiasa jadi anak yang solehah... Ibu, ayah dan adik sayang sangat kat kakak....

Friday, May 25, 2012

Menjadi seorang ibu

Salam. Saya rasa tidak terlambat untuk saya ucapkan selamat hari ibu buat emak saya, ibu mertua diri saya sendiri dan juga buat semua wanita-wanita yang bergelar ibu. Walaupun hari ibu jatuh pada minggu kedua bulan Mei, tapi kita kenalah sentiasa menghargai ibu kita tiap-tiap hari kan.

Bercerita tentang tanggungjawab seorang ibu, saya dibesarkan oleh seorang emak yang sangat gigih bagi saya. Seingat saya, emak akan memulakan tugas sebagai seorang ibu dan isteri bermula dari pukul 4 pagi. Buat apa bangun sebelum subuh tu? Emak akan masak sarapan pagi (memang tak pernah beli). Biasanya kuih muih macam kuih keria, karipap. Saya tak pernah keluar rumah tanpa sarapan pagi. Lepas tu emak juga masak untuk makan tengah hari sekali sebab emak saya bekerja, jadi dia nak pastikan bila anak-anak balik sekolah, makanan dah ada. Kalau saya rajin, saya panaskan la. Yang penting makanan dah ada. Baju-baju sekolah saya, sampai lah saya mencecah ke tingkatan 3, emak yang basuh dengan cucian tangan. Emak tak nak saya pakai baju yang nampak kusam. Setiap kali basuh setiap kali tu la dinila. Bila dah form 3 baru la saya cuci sendiri, mak dah yakin saya basuh bersih kot. heheheh. Masa juga dengan gosok baju.. dah sekolah menengah baru lah saya gosok baju sendiri. Banyak yang emak saya buat untuk saya dan adik sepanjang kami dibesarkan.

Saya sebagai ibu pula, memulakan hari seawal pukul 5.30 pagi. Saya memang belum sempat buat sarapan. Pagi-pagi akan pastikan barang-barang asyif ready untuk di hantar ke rumah mak. Sarapan Aszra biasanya simple. Susu dengan roti, atau cereal pun dah ok. Dia memang tak makan banyak. Saya dan en suami pula biasanya bersarapan sendiri di ofis. Waktu malam, saya akan masak yang ringkas-ringkas. Lepas tu biasanya concentrate dengan pembelajaran Aszra. Bab-bab education saya yang akan pantau. Part melayan anak-anak tu bagi kat en suami la. Dia je yang larat nak main dukung-dukung dengan anak-anak. Tugas saya masih tidak seberat emak. Tapi insyaAllah saya akan cuba praktik kan apa yang emak buat untuk saya.

Terima kasih emak.

Wednesday, May 02, 2012

Buku tetap laku


Semalam, cuti 1 Mei sempena hari buruh, saya penuhi dengan aktiviti ke PWTC. Seperti yang semua tahu, Kuala Lumpur International Book Fair 2012 (KLIBF) sedang berlangsung kan. Sebagai hantu buku.. harus la saya looking forward every year kan. Kalau ke pesta buku macam ni, kita kena ada target nak cari buku apa. Sebab tanpa perancangan yang baik, silap-silap kita boleh terbelanja dengan melampau. So, tujuan utama saya kali ini ialah nak survey dan cari buku-buku ilmiah berkenaan dengan e-learning, yang sesuai untuk saya gunakan sebagai rujukan. Saya terjumpa satu buku yang sangat-sangat bagus, dan berguna untuk saya jika saya ada rezeki sambung phd.. tapi harganya, RM 463. Fuhhhhh... berpinar mata saya mendengar harganya. Bukunya nipis dalam seinci je tapi mungkin kandungan nya sangat hebat. Jadi, buku tu saya lupakan dulu. Selain buku ilmiah, saya target untuk beli buku-buku latihan aszra dan few books berunsur keagamaan dan motivasi untuk bacaan sampingan saya. Saya memang tak pergi ke kawasan yang menjual novel-novel sebab saya tahu bahayanya jika saya ke sana. Mudah tergoda dengan godaan nobvel-novel yang macam - macam tu. Alhamdulillah, saya beli apa yang saya rancang.

Saya berbual dengan en suami. Kami dua-dua berlatarbelakang pendidikan teknologi maklumat. Bak kata orang, kami ni jenis yang senang nak cari maklumat sebab komputer dan internet memang permainan kami. Maklumat bagai dihujung jari la kan. Semuanya ada dalam internet. Tapi kami masih lagi gigih untuk membeli buku-buku. Boleh je cari kat internet latihan-latihan yang baik utk anak-anak, atau bahan bacaan yang baik utk saya.. tapi saya tetap beli buku. Sebab tu la setiap kali pesta buku mcm ni, keadaan jadi sangat sesak. Jalan jadi jem. Semata-mata orang nak beli buku. Walau dalam dunia serba canggih ni, manusia tetap rely on books kan. Jadi, kami buat kesimpulan, buku ni adalah elemen utama dalam pembelajaran dan teknologi pula sebagai satu bahan pelengkap kepada kaedah pembelajaran. Manusia tidak boleh bergantung penuh pada teknologi di mana, kadangkala teknologi mudah untuk disalah gunakan. Sebab tu orang beli buku.. Buku tetap laku!

Monday, April 30, 2012

Cabaran mencapai impian

Hari ini 30 April 2012. Hari terakhir bagi mereka yang nak memohon biasiswa Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) untuk submit proposal dan borang permohonan. Alhamdulillah, saya antara ribuan penjawat awam yang memohon kali ini. Ini kali pertama saya.. Memohon ke tahap tertinggi dalam pembelajaran.. Doktor Falsafah.

Proposal dan borang dah pun saya submit pertengahan minggu lepas. Di peringkat Bahagian, dah pun lulus dan lepas ni tunggu je la samada layak untuk dipanggil temuduga. Sebenarnya saya agak kurang yakin dengan penulisan saya dalam proposal tu. Saya tahu saya boleh buat dengan lebih baik. Saya hampir give up semata-mata nak berikan yang terbaik. Saya takut untuk menerima kegagalan sebenarnya. Saya takut proposal tu ditolak atau saya bakal gagal dalam temuduga. Macam-macam perkara negatif timbul. Tapi Alhamdulillah... saya mendapat sokongan kuat dari orang-orang yang menyayangi saya.. Kata-kata semangat, bantuan.. semua buat saya kuat untuk hantar proposal tu. Walaupun hanya sekadar proposal memohon biasiswa, tapi bagi saya pengalaman menyediakannya amat bererti. Kata seorang kawan saya.. kalau saya berjaya menempuh dan mengenepikan dugaan-dugaan sepanjang buat proposal ni, insyaAllah...laluan saya untuk mencapai doktor falsafah ni akan lebih mudah.. InsyaAllah.. Thanks Simi. Good luck to you too..

Jadi untuk saat ini, saya serahkan saja semuanya pada Allah. Andai sudah tertulis rezeki untuk menyambung pengajian itu milik saya.. saya bersyukur.. tapi andai sebaliknya yang terjadi, saya terima dengan redha.. Allah lebih tahu dan merencana apa yang terbaik untuk saya.. Gagal sekali tak bererti gagal selamanya kan... Good luck untuk semua kawan-kawan yang sama-sama memohon.

Sunday, April 29, 2012

Mencari Kekuatan Menulis Kembali

Salam hujung April. Hampir dua bulan lebih saya tak mencoret apa2 dalam blog ini. Hasrat saya nak menulis dan update sekerap yang boleh tidak kesampaian. Entah lah, saya seolah hilang mood untuk menulis. Mungkin dengan beban kerja saya semakin banyak atau masa yang yang kurang cukup untuk saya curahkan idea di sini... atau mungkin, saya terlalu terganggu dan terleka dengan sesuatu yang menyebabkan saya mengabaikan blog ini... Harapnya hari ini, saya temui kekuatan untuk kembali menulis walaupun tulisan ini adalah untuk diri saya sendiri. Jadi Asnida.. sila bangun dari terus bermimpi..dan berpijak pada bumi yang nyata..InsyaAllah....


Tuesday, February 14, 2012

Memory Lane

Semalam, 13 Februari.. saya dan en suami ke KLCC selepas waktu ofis. Tujuannya.. gi tengok preview screening filem Ghost Rider. En suami saya menang 2 tiket melalui majalah The Score. Punya lah dia suka sebab jadi antara rakyat Malaysia yang pertama tengok filem feveret dia tu. Filem Ghost Rider ni akan mula ditanyangkan bermula Khamis ni rasanya.. Saya rasa tak payah lah saya citer pasal filerm ni, nanti spoil la pulak kan. Sebab orang lain tak tengok lagi. Tapi yang penting, memang best citer kali ni.. agak gila2 dan rock sikit..ehhehhe.
On the way balik, saya drive menyusuri jalan Yap Kwan Seng. Ohh.. masa ni lah kenangan lama terbayang di mata saya. Saya pernah bekerja di KUB.com yang terletak di Jalan Yap KWan Seng. Jarak nya dlm 500 meter ke KLCC kot. Saya tinggal dan bekerja di tengah bandaraya KL almost 3 tahun. Saya menyewa di Kampung Baru dengan best friend saya Ila. Walau kat tgh bandar, tapi perjalanan nak gi kerja hanya ambil masa 5 minit je. Tiba2 saya rindu saat tu. Tahun 2000-2003. 10 tahun dah berlalu. Banyak yang dah berubah. Dulu.. jalan2 di situ dah jadi permainan saya. Berjalan kaki untuk lunch di KLCC.. malah KLCC tu lah jadi tempat melepak saya dan Ila. Agak2 bosan malam2, kami keluar duduk di perkarangan KLCC tengok air pancut berirama kat tasik buatan KLCC sambil tengok ragam orang. Pastu leh dengar live band dari restoran Shroom. Saya rindu saat itu.. Umur saya sekitar 22-25 tahun. Banyak pengalaman yang saya perolehi tinggal di bandar besar. Tapi Alhamdulillah.. saya dipertemukan dengan kawan2 yang baik.. tak pernah lah saya tersilap langkah. Ramai yang risau kalau-kalau anak2 muda tinggal di bandar akan terpengaruh dengan budaya yang tidak baik.. tapi bagi saya, asas didikan yang sempurna mampu membantu kita untuk memilih jalan yang baik. InsyaAllah... Illa.. kita rindu sangat kat illa.

Saturday, February 11, 2012

Asyif kena chicken pox

Seperti yang dijangka, selepas 2, minggu Aszra kena, now turn asyif pulak kena chicken pox. Jaga kakak tak susah sebab kakak dah faham dan ikut je apa yang ibu dan wan ckp. Dia tak garu-garu pun malah bila bagi minum air kelapa pun dia boleh habis.

Lain cerita dengan si asyif ni. Petang tadi beli 2 biji kelapa muda nak bagi dia minum.. Dia minum seteguk terus tak nak. Yer la, air kelapa muda pure tanpa gula.. Tapi bila bagi yang berguna bukan main minum lagi. Satu lagi yang buat saya bimbang, asyif ni kuat berpeluh dan suka menggaru bila rasa gatal2.. Memang nak kena sape calamine lotion selalu la nampaknya. Hopefully Asyif ibu cepat sembuh. Ibu pulak yang ngeri ni sebab ibu tak pernah kena chicken pox...

Friday, February 10, 2012

SHT - Sasaran Hidup Tahunan 2012

Selalunya setiap tahun saya akan listkan azam saya supaya senang nak tengok kan.. So tahun ni apa azam ek.. Ada few things dan saya harap ianya dapat direalisasikan.. InsyaAllah..

1. Hantar mak ayah gi Haji untuk musim haji 2012.
Actually turn mak dan ayah sangat lambat lagi. Tapi saya dah hantar surat rayuan ke Tabung Haji. Mak dan ayah pun saya dah daftarkan ke kursus haji dan akan mula 12 Feb ni selama 16 minggu. Dengan travel agent pun saya dah registerkan. Kami decide ambil pakej swasta. A bit pricey, tapi demi nak tunaikan hasrat mak dan ayah, saya tak kisah. Selagi mak dan ayah tak ke tanah suci, hati saya akan rasa sayu setiap kali musim haji. Mudah-mudahan ada rezeki mak dan ayah tahun ni.. Saya bersyukur sangat, mereka bakal pergi dengan hasil titik peluh saya dan adik.. Semoga Allah memberkati niat kami..

2. Persiapkan Aszra untuk Ujian Kelayakan Kemasukan Darjah 1 ke sekolah rendah agama integrasi.
Menjadi hajat saya nak hantar anak-anak saya ke sekolah integrasi atau sekolah yang beraliran agama. Ada yang bertanya.. saya nak anak2 saya jd ustaz /ustazah ke? Hmm.. kalau mereka minat kenapa tidak. Tapi bagi saya..saya nak anak2 dapat didikan agama yang sempurna di sekolah disamping di rumah. At least basic foundation tu dah ditanam sejak kecil terutama dalam menilai perkara yang baik dan tidak baik. Life sekarang sangat mencabar. For now, saya selalu buat ulangkaji dengan Aszra. Ujian mungkin dalam bulan 4 atau 5.

3. Mendaki gunung kinabalu
Wow.. ada yang terperanjat kot bila dengar saya nak daki gunung ni. Nampak sangat cita-cita tu tinggi melangit kan. Tapi tak mustahil untuk dilakukan. Ya.. saya akan daki gunung kinabalu. Paling awal bulan September dan paling lewat bulan Disember. InsyaAllah. Sekarang ni saya dah kena start exercise untuk build up stamina. Jogging almost every day.. Pastu saya sedang buat jadual untuk mendaki bukit-bukit kecil sekitar lembah klang as a preparation. Antara yang dah ada dlm list..Bukit Tabur, Bukit Broga, Bukit Saga, Bukit Ketumbar, Bukit Besi, Bukit Puchong dan Bukit Gasing. Just nak biasakan diri.. Semoga cita2 saya ni tercapai dan kesihatan saya mengizinkan.

4. Buat pilot study as preparation proposal phd
Kalau ikutkan hati, saya nak submit proposal phd tahun ni. So that saya boleh further study next year. Tapi saya rasa macam tak bersedia pulak. Ditambah dengan kerja hakiki yang sangat berat tahun ni. So saya decide saya nak buat pilot study dulu.. hasil dari study tu, akan saya gunakan untuk come out with a strong proposal. At least bila interview nanti, proposal saya tu dah kukuh la kan.. sebab dah buat study awal. InsyaAllah...

Setakat ni.. empat perkara besar yang saya nak cuba capai tahun ni. Perkara2 kecik contohnya nak nak kuruskan badan ke, nak jadi ibu yang baik ke.. memang kena buat sepanjang masa kan. Saya akan cuba sedaya upaya..Semoga niat saya.. cita2 saya ni mendapat keberkatan Allah SWT... InsyaAllah...

Thursday, February 09, 2012

Kembali berblog di Bulan Februari

Salam tahun 2012... dah masuk bulan februari baru nak ucap selamat tahun baru. Lama betul saya tak update. Entah la.. banyak benda nak citer tapi tangan ni malas betul la nak log in dan taip citer2 yang sepatutnya. Pastu dengan kecanggihan yang ada, guna iphone pun leh update blog.. tapi tu la, bila penyakit malas melanda. Memang tak jadi kerja..huhuhuh. Now, kerajinan saya dah datang balik kot. InsyaAllah biarlah kekal.. semoga saya tak terleka dengan urusan duniawi yang tak bawak faedah..
Ok la.. alang2 bulan Februari, nak cerita sikit tentang si adik, Asyif bin Asrof. Alhamdulillah, dah masuk 2 tahun usianya 2 Februari yang lepas. Makin bijak, makin tinggi dan sihat. Beratnya dah 17kg, sama berat ngan kakak.. hobi suka main bola dan main kereta. Tapi now ada hobi baru lain.. suka main ipad. Tak payah bantu dah.. dia dah tahu nak guna dan nak tekan apa.. nak pilih game apa. Cuma satu je dia masih belum boleh buat dengan baik iaitu bercakap. Tak banyak words yang dia boleh sebut. Famous words ialah Ayah, Akak, Allah, Wan.. Malah saya pun dia panggil Abab. Mengira one two three boleh pulak.. Risau juga saya tapi ramai kata dia still young.. tengok progres macam mana nanti.. Untuk Dedek a.k.a Asyif.. ibu doakan dedek jadi anak yang soleh.. bijak, pandai dan satu hari nanti dapat jadi imamkan solat dengan ibu. InsyaAllah.

Dah citer adik, update citer kakak pulak. Kakak dah masuk sekolah baru, Genius Aulad. Now dah start belajar solat.. tiap2 hari bawak telekung sebab nak solat katanya. Alhamdulillah.. Baru-baru ni kakak kena chicken pox.. kesian kat kakak. Habis badan penuh.. sib baik muka tak banyak sangat. Cuti 2 minggu dari gi sekolah dan mengaji. Now dah pergi sekolah balik. Sekarang ni, saya akan fokuskan kakak untuk buat preparation ujian kelayakan ke sekolah integrasi. Semoga usaha ini mendapat keberkatan..

Bercerita tentang diri sendiri, seperti biasa.. saya masih pegawai kerajaan yang dibayar gaji oleh Kerajaan Malaysia dan kehidupan saya juga adalah seperti biasa. Cuma tahun ini, saya perlu banyak berusaha untuk memastikan orang2 kesayangan saya bahagia especially untuk mak dan ayah yang berhajat menunaikan haji tahun ini... Semoga semuanya dipermudahkan...