Assalamualaikum wbt.
Hari ni 1 Januari 2013 tahun baru. Hari ni juga hari orientasi Sekolah Kebangsaan Kapar. Ya, akhir nya saya daftarkan Aszra ke sekolah saya juga. Jauh dari Setia Alam tapi dekat dengan rumah Mak dan Ayah. Lepas berfikir dan mengambil kira pelbagai perkara, saya dan suami ambil keputusan menyekolahkan dia di situ. Antara yang utama, di Kapar ada sekolah agama, jadi lebih mudah. Di Setia Alam selepas 2015 baru ada sekolah agama menurut Jabatan Agama Islam Selangor.
Seawal pukul 8 pagi kami dah berada di sekolah. Aszra memilih untuk memakai baju kurung lengkap bertudung sebagai uniform sekolah. Alhamdulillah, dia bertudung atas pilihan sendiri tanpa sebarang paksaan. Saya cuba beri kelonggaran agar tidak perlu bertudung memandangkan dia masih kecil. Tapi dia sendiri yang buat keputusan dengan sebab paling munasabah iaitu seorang perempuan beragama islam wajib menutup aurat, katanya. Ok. Saya tiada halangan. Malah sangat bersyukur. Mudah-mudahan pegangannya ini berkekalan.
Aszra dimasukkan dalam kelas 1 Aktif. Murid-murid dibawa melihat-lihat kawasan sekolah. Mengenal di mana tandas, kantin, bilik guru dan sebagainya. Ibu bapa pula diberi taklimat tentang pelbagai perkara. Dah berubah sistem pendidikan di negara kita ni. Ada yang saya rasa sangat bagus, ada juga yang saya ragu-ragu keberkesanannya nanti. Malah program baru PBS yang diperkenalkan pada tahun 2011 itu pun masih belum diberi kata putus apakah matlmat akhirnya. Aszra adalah kumpulan ke tiga yang akan mengikuti program PBS ini. Saya ada mencatatkan beberapa perkara penting tentang pendidikan sekolah rendah seekarang.
1. Program Linus
Program Literasi Numerasi Saringan. Program untuk menilai dan menkategorikan pelajar mengikut kemampuan membaca, menulis dan mengira. Pada yang telah lepas ketiga2 kemahiran ini akan masuk ke kelas Perdana manakala yang masih belum mahir akan dikumpulkan dalam kelas Linus biasa dan Linus Tegar. Jadi minggu depan, akan dijalankan ujian saringan ini.
2. Program Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS)
Program ini diperkenalkan pada tahun 2011. Kalau tak silap saya program ini diadaptasi dari Australia di mana tiada peperiksaan dijalankan sepanjang pembelajaran. Pelajar hanya dinilai setiap hari oleh guru-guru dengan menggunakan sistem BEN (Tak sure betul ke tidak ejaan ni). Pelajar yang mengikuti program ini lah yang tidak akan menduduki UPSR. Kalau ada pun peperiksaan akhir darjah 6 hanya 40% sahaja dari markah keseluruhan. 60% adalah dari guru-guru dan penglibatan pelajar dalam ko kurikulum.
3. Program NILAM - Nadi Ilmu Amalan Membaca
Program ini untuk menggalakkan budaya membaca. Pelajar akan dibekalkan buku rekod bacaan dan setiap buku yang dibaca akan dicatatkan di dalam buku tersebut. Pelajar akan diberi pingat samada Gangsa, Perak, Emas dan Nilam berdasarkan jumlah buku yang telah dibaca. Program ini dimasukkan sebagai silibus matapelajaran Bahasa Melayu.
4. Program I-Think
Program ini adalah untuk sekolah yang terpilih. Sekolah Kebangsaan Kapar telah terpilih sebagai sekolah projek. Pelajar akan diajar untuk berfikir secara kritis dengan menggunakan peta pembelajaran untuk merangsang minda.
5. JQAF dan Bestari Solat
Program Jawi, Quran, Arab dan Fardhu Ain ini menekankan subjek agama. Pihak sekolah akan memastikan pelajar akan menguasai Jawi, tamat Al-Quran dan mampu menunaikan solat sepajang pembelajaran dari darjah 1 -6. Setiap minggu ada program solat. Alhamdulillah..
Itu lah serba sedikit tentang program baru di sekolah masa kini. Makin mencabar rasanya. Semoga Aszra dapat menempuh cabaran ini. In sha Allah.. saya akan sama-sama membantu Aszra dalam mencapai cita2.